JOHOR BAHRU – Semua ahli politik minta bersikap rasional, terkawal dan menghentikan manipulasi isu kaum serta identiti berhubung kesilapan pemasangan Jalur Gemilang kerana didakwa menimbulkan ketakutan kepada orang ramai untuk mengibarkannya semasa Bulan Kebangsaan.
Ahli Parlimen Bakri, Tan Hong Pin mendakwa, ramai ahli politik daripada blok kerajaan dan pembangkang memainkan isu itu secara keterlaluan sekali gus memberi kesan kepada rakyat.
“Tumpuan lebih seharusnya diberikan kepada perbahasan dasar dan menghentikan tindakan tidak bertanggungjawab yang mencetuskan perpecahan serta memanipulasi politik identiti demi kepentingan politik, sehingga akhirnya menggadaikan kepentingan jangka panjang negara.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, setiap kali menjelang bulan kemerdekaan pada Ogos, akan ada ahli politik yang mengambil kesempatan terhadap kesilapan tidak disengajakan berkaitan Jalur Gemilang untuk mencetuskan kontroversi, sekali gus menyindir dan mempersoalkan semangat patriotik kelompok tertentu,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, tindakan itu menambahkan lagi perpecahan dalam masyarakat majmuk malah turut mematahkan semangat orang ramai yang ingin menzahirkan rasa cinta kepada negara secara ikhlas.
Minggu lalu, beliau menerima aduan daripada penduduk sekitar Parlimen Bakri yang menyuarakan kebimbangan dikenakan tindakan tegas sekiranya tersalah pasang Jalur Gemilang.
“Ada yang bimbang, ada yang bergurau dan ada juga yang menyindir. Namun, satu perkara yang jelas ialah masyarakat tanpa mengira kaum rata-rata tidak bersetuju dan tidak berpuas hati dengan manipulasi isu sedemikian oleh sesetengah ahli politik, serta pendekatan penguatkuasaan pihak berkuasa yang dilihat selektif dan keterlaluan,” ulasnya.
Hong Pin berpendapat, inisiatif mengibarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan merupakan aktiviti sukarela yang mencerminkan semangat patriotisme.
“Namun, manipulasi politik yang tidak bertanggungjawab sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan pendekatan penguatkuasaan yang keterlaluan merencatkan semangat menyemarakkan bulan kemerdekaan,” ulasnya.
Katanya, bulan kebangsaan sewajarnya diraikan dengan penuh kegembiraan namun kebelakangan ini, rakyat diselubungi kebimbangan kerana takut dikenakan tindakan tegas jika tersilap kibarkan Jalur Gemilang.
“Orang ramai bimbang bahawa satu kesilapan yang tidak disengajakan ketika cuba menzahirkan semangat patriotik bukan sahaja boleh membawa kesan sebaliknya mereka boleh dilabel atau dipersoalkan sebagai ‘tidak patriotik’, malah mungkin berdepan tindakan undang-undang,” katanya.
Justeru katanya, pendekatan yang lebih menggalakkan dan promosi bersesuaian perlu dilaksana supaya orang ramai dengan rela hati dan bersatu hati mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan kebangsaan.
17 Ogos lalu, Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) menutup serta merta operasi kilang alat ganti dalam kawasan Perindustrian Kulai yang didakwa memasang Jaur Gemilang dan bendera negeri Johor secara terbalik.
Berselang tiga hari kemudian, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mengarahkan sebuah kilang di Taman Perindustrian SILC di Iskandar Puteri juga dihentikan operasi serta merta atas kesilapan sama.
Rentetan itu, tiga kertas siasatan dibuka termasuk satu lagi kes di bawah kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.
