SHAH ALAM – Agrobank menerima geran pemadanan bernilai RM1.5 juta di bawah Program Geran Pemadanan High Impact Product (HIP) daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada Ahad.
Geran berkenaan bertujuan membantu usahawan industri makanan dan asas tani meningkatkan kapasiti pengeluaran, memperkukuh kualiti produk serta memperluas daya saing dan akses ke pasaran.
Program HIP di bawah seliaan Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT), KPKM menyediakan bantuan geran secara padanan kepada usahawan yang layak bagi menyokong pengembangan perniagaan, pembangunan produk bernilai tinggi serta memperluas peluang pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, sokongan kepada usahawan industri makanan dan asas tani mengambil kira keperluan mereka untuk meningkatkan kapasiti serta menghasilkan produk yang mampu bersaing dalam pasaran semakin berkembang.
Menurutnya, bagi usahawan yang sedang berkembang, keperluannya bukan sekadar menambah pengeluaran.
“Mereka juga perlu memastikan produk mempunyai kualiti yang konsisten, pembungkusan sesuai, premis memenuhi keperluan serta pensijilan dapat membuka akses kepada pasaran lebih luas.
“Melalui Program HIP, bantuan yang disediakan boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh aspek tersebut supaya usahawan lebih bersedia meningkatkan skala perniagaan dan membawa produk mereka ke pasaran lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah Tengku Ahmad Badli Shah, program itu memberi tumpuan kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mencatatkan nilai jualan kasar tahunan antara RM300,000 hingga RM10 juta.
Menurutnya, nilai geran adalah berdasarkan jumlah jualan kasar tahunan dan tertakluk kepada syarat serta kelayakan yang ditetapkan.
“Melalui Program HIP, lebih ramai usahawan berpeluang meningkatkan kapasiti pengeluaran, menambah baik kualiti produk serta memperluas pasaran.
“Ia sekali gus memperkukuh daya saing industri makanan dan asas tani negara,” katanya.