Pernah digelar ‘Presiden Threads’ oleh netizen gara-gara terlalu aktif mengulas dan berseloroh mengenai pelbagai isu semasa, pelakon, Aeril Zafrel kini tidak lagi mahu menjadi individu terawal yang ‘terjun’ dalam setiap polemik di media sosial.
Apatah lagi ketika media sosial semakin menjadi ruang toksik yang bukan sahaja dipenuhi kecaman dan perbalahan, malah ada kalanya dijadikan medan untuk menjatuhkan sesama sendiri.
Jika dahulu hampir setiap isu yang mencuri perhatian ramai mengundang reaksinya, suami kepada pelakon, Wawa Zainal itu kini lebih selesa menjadi pemerhati senyap dan memberi tumpuan kepada kehidupan sendiri. Jadi, Aeril jawablah!
Aeril dilihat agak aktif di media sosial dan turut mengulas pelbagai isu. Mungkin boleh kongsikan bagaimana rasanya menjadi seorang yang agak lantang menyuarakan pandangan di media sosial?
Sebenarnya sejak kebelakangan ini saya sudah tidak mengulas apa-apa. Sebelum ini saya pun tidaklah terlalu mengulas. Lebih kepada membuat jenaka sahaja. Kalau hendak mengulas sesuatu isu secara serius, saya rasa tidak layak. Kebanyakannya sekadar bergurau atau membuat jenaka tentang sesuatu perkara.
Adakah terdapat isu-isu tertentu yang menarik perhatian Aeril untuk memberikan pandangan secara umumnya, mungkin penggunaan media sosial sekarang dilihat semakin toksik?
Ya. Saya pernah sampai ke satu tahap di mana semua perkara saya mahu komen dan ulas. Kemudian saya fikir, perkara seperti itu tidak akan pernah berakhir.
Jadi, sekarang saya mengambil langkah untuk teruskan sahaja kehidupan. Saya tidak mahu terlalu masuk campur dalam semua perkara. Kadang-kadang saya sudah mahu menaip sesuatu, tetapi selepas berfikir semula, saya batalkan niat untuk memuat naik.
Jadi, sekarang memilih untuk memperlahankan aktiviti di media sosial?
Buat masa sekarang, saya rasa tidak ada keperluan untuk saya mengulas semua perkara. Kalau dulu memang rajin, hampir semua perkara saya akan ulas. Saya sedar, kalau hendak memuat naik sesuatu, kita tidak boleh buat sembarangan.
Kita tetap perlu berfikir sebelum membuat hantaran. Kapsyen pun perlu fikir sesuatu yang menarik. Perkara-perkara seperti itu yang membuatkan saya rasa malas sebab perlu berfikir.
Pada saya, apabila kita terlalu lantang, sedikit sebanyak ia boleh menurunkan ‘izzah’ atau martabat kita. Saya sendiri sudah lupa apa yang pernah saya lakukan dahulu.
Tetapi pada saya, apabila kita mahu masuk campur dan mengulas semua perkara, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada pandangan orang terhadap kita.
Mungkin rasa hormat orang terhadap kita sedikit berkurangan. Walaupun apa yang kita katakan itu betul, bukan semua perkara perlu kita ulas. Kadang-kadang apabila kita memilih untuk berdiam diri, orang akan lebih menghormati kita.
Sebagai orang dalam industri dan aktif di media sosial, pendapat Aeril tentang perangai menjatuhkan sesama artis di platform itu?
Saya berani jamin, orang yang mengata itu suatu hari nanti akan berjumpa juga dengan individu yang diperkatakan. Kalau artis mengata artis atau penyanyi mengata penyanyi, pasti satu hari nanti mereka akan berjumpa.
Sekarang ini ada perkara yang kita boleh buat dan ada perkara yang kita boleh ulas. Tetapi kalau perkara itu sekadar mengarut atau menyakitkan hati orang lain, kita boleh memilih untuk berdiam diri daripada terus mengapi-apikan keadaan.
Bagaimanapun, kalau perkara itu melibatkan agama atau perkara yang sememangnya perlu ditegur, tiada siapa pun boleh menghalang kita daripada mengeluarkan kenyataan.
Apakah nasihat Aeril kepada pengguna media sosial, termasuk selebriti yang menggunakan platform itu untuk menjatuhkan orang lain atau menyebarkan perkara negatif?
Saya rasa semua orang tahu, kalau kita menggunakan media sosial untuk menjatuhkan orang lain, perkara itu pasti akan memberikan impak kepada diri sendiri.
Saya percaya mungkin sekarang apabila kita melakukan sesuatu, ramai yang menyokong. Tetapi orang yang tidak menyokong sebenarnya sedang menunggu sahaja. Mereka sedang mencari ruang atau kesilapan kita.
Apabila kita tersilap sedikit, ketika itulah mereka akan menyerang. Kita kena sedar bukan semua orang suka kita. Kita bukan Khairul Aming yang semua orang suka. Orang yang tidak suka itu pun sebenarnya sedang menunggu peluang untuk menghentam kita.
Saya selalu ingatkan diri sendiri bahawa apa sahaja yang kita tulis di media sosial akan kekal. Perkara itu boleh kekal sampai bila-bila. Jadi, kalau boleh, buatlah sesuatu yang baik.
