PUTRAJAYA: Tidak hanya menyantuni kumpulan ‘grafik manusia’ di tapak sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meluangkan masa meraikan rakyat yang hadir pada sambutan itu.
Lebih mengejutkan, Perdana Menteri sanggup berjalan sejauh lebih 500 meter dari khemah utama sehingga ke depan Wisma Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi bertemu dan bersalam serta beramah mesra dengan rakyat.
Tindakan spontan itu bukan kali pertama dilakukan Perdana Menteri setiap kali berakhir sambutan Hari Kebangsaan namun, kali ini ‘jarak’ itu sedikit jauh berbanding sebelum ini.
Ia dilakukan Perdana Menteri sejurus keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah sekitar 10 pagi tadi.
Situasi itu semestinya diraikan penuh gembira oleh rakyat yang hadir dan mereka menggunakan peluang itu untuk bersalaman dan beramah mesra serta merakam detik kenangan itu bersama pemimpin nombor satu negara itu.
Sebelum itu, Anwar sempat menyantuni 1,500 peserta grafik manusia sambil berkongsi rasa terima kasih di atas persembahan kumpulan murid itu.
“Terima kasih semua. Alhamdulillah, good show, thank you very much
Great great show,” itu ringkasnya.
Ucapan itu kemudian disambut dengan tepukan gemuruh dan sorakan oleh peserta grafik manusia itu.
Sebelum meninggalkan peserta grafik manusia itu, Anwar sempat ‘menghadiahkan’ ‘flying kiss’, menunduk hormat dan memberikan isyarat tanda tangan bagus diatas kecekalan peserta grafik manusia itu.
Turut turun menyantuni dan beramah mesra dengan peserta grafik manusia ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Peserta grafik manusia ialah antara tumpuan utama sambutan Hari Kebangsaan 2026 kali ini yang tidak kenal erti penat lelah menghiburkan kenamaan termasuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah serta kenamaan lain seawal 7 pagi. – UTUSAN
