KUALA LUMPUR – Pemilik kenderaan diesel persendirian jenis pikap dan jip yang layak tetapi belum memohon tambahan kelayakan BUDI Diesel sebanyak 100 liter sebulan perlu berbuat demikian menerusi portal Budi Madani.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan tambahan itu membolehkan jumlah kelayakan bulanan mereka dinaikkan daripada 300 kepada 400 liter pada Selasa.
Pemilik yang telah memperoleh kelulusan bagi tambahan 100 liter sebelum ini pula tidak perlu mengemukakan permohonan baharu.
“Bagi pemilik pikap dan jip yang telah diluluskan tambahan 100 liter sebelum ini, kelayakan mereka akan diselaraskan secara automatik kepada 400 liter mulai 1 Sept 2026,” menurut kenyataan itu.
Permohonan bagi tambahan kelayakan itu boleh dibuat menerusi portal https://www.budimadani.gov.my/.
Menurut MOF, lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel persendirian jenis pikap dan jip layak memohon tambahan berkenaan.
Sementara itu, had kelayakan asas bulanan Budi Madani akan diselaras semula daripada 200 kepada 300 liter mulai esok seperti diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Amanat Perdana Ambang Merdeka 2026.
Pelarasan itu akan dilaksana secara automatik kepada penerima Budi Madani RON95 (BUDI95) dan Budi Madani Diesel (BUDI Diesel), tertakluk kepada kelayakan masing-masing.
Seramai 16 juta pengguna menikmati RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter manakala lebih 700,000 daripada mereka turut layak menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa pengembalian had kelayakan bulanan itu mengambil kira pengurusan bekalan yang semakin tersusun, penguatkuasaan lebih tegas, prestasi ekonomi negara yang kukuh dan kemampuan kewangan kerajaan. – Bernama
