NAIROBI: Ratusan penumpang terkandas semalaman di lapangan terbang antarabangsa utama Kenya apabila mogok pekerja memasuki hari kedua pada Isnin.
Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta (JKIA) di Nairobi merupakan hab penerbangan utama bagi rantau Afrika Timur dan penting kepada sektor pelancongan negara itu.
Namun, lapangan terbang berkenaan berdepan beberapa siri mogok sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila pekerja menuntut suasana kerja yang lebih baik.
Beberapa penerbangan dibatalkan pada Ahad, manakala wartawan AFP melihat ratusan penumpang terkandas di lapangan terbang itu. Media tempatan melaporkan sebahagian daripada mereka terpaksa bermalam di situ.
Kenya Airways berkata, penerbangan berlepas dengan kelewatan purata antara dua hingga tiga jam.
“Tiada apa-apa yang berlaku, kemas kini pula lambat sampai kepada kami. Ia merosakkan jadual perjalanan kami,” kata seorang penumpang, William Obino, 22, kepada AFP.
Kesatuan Pekerja Penerbangan Kenya (KAWU) berkata, mogok itu berpunca daripada kegagalan berlarutan Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Kenya (KAA) memuktamadkan perjanjian perundingan bersama baharu.
KAWU turut membantah penggunaan sukarelawan daripada Perkhidmatan Belia Kebangsaan sebagai kakitangan lapangan terbang.
KAA berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan agensi penerbangan berkaitan, syarikat penerbangan dan pihak berkepentingan lain bagi mengurus keadaan, meminimumkan gangguan serta memastikan operasi lapangan terbang berjalan lancar.-AFP

