Kanak-kanak cedera terkena kenderaan bawa bot bomba cedera ringan, dilaporkan stabil

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Kanak-kanak lelaki yang cedera selepas kaki kirinya terkena tayar trailer bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan Kali Ke-69 Peringkat Negeri Terengganu, di sini, hari ini tidak mengalami kecederaan serius.

Timbalan Pengarah JBPM Terengganu, PgKB I Shahrin Yusmar Mat Yusof, berkata keadaan Che Ku Muhammad Khairul Amir Che Ku Mohd Khairul Azlan, 3, stabil dan hanya cedera ringan.

Beliau berkata, kanak-kanak itu kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan masih berada di bawah pemantauan pihak hospital.

“Hasil pemeriksaan awal pihak hospital mendapati Amir tidak mengalami kecederaan serius.

“Bagaimanapun, kanak-kanak itu masih berada di HSNZ bagi menjalani pemantauan dan rawatan lanjut,” katanya ketika menziarahi kanak-kanak itu di hospital berkenaan, hari ini.

Shahrin Yusmar berkata, kunjungan ziarah kasih itu adalah sebagai tanda keprihatinan JBPM terhadap kanak-kanak terbabit selain memberi sokongan moral kepada mangsa dan keluarganya.

Dalam kunjungan itu, beliau turut menyampaikan salam daripada pengurusan tertinggi JBPM serta mendoakan Amir segera sembuh dan kembali aktif.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top