harisfadli@hmetro.com.my
Ampang: Tiada laporan diterima berhubung satu video tular memaparkan seorang wanita terbaring sebelum berlaku pergaduhan antara beberapa individu di tepi Jalan Pandan 1, Pandan Jaya, di sini, baru-baru ini.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid dan berkata pihaknya mengambil maklum berhubung insiden tular itu.
“Hasil semakan mendapati lokasi kejadian berada di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.
“Namun tiada laporan polis diterima berkaitan kejadian berkenaan untuk menjalankan siasatan dan tidak pasti motif pergaduhan berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu tular satu klip video dimuat naik seorang individu di Threads mendakwa terlihat seorang wanita terbaring di tepi motosikal dengan dua lelaki berdiri berhampiran dipercayai mengenali wanita itu.
Pengguna media sosial terbabit mendakwa cuba bertanya apa yang berlaku namun keadaan bertukar tegang selepas wanita terbabit dikatakan merosakkan kereta dinaikinya.
Dalam video berkenaan wanita terbabit dilihat bertindak agresif dan menyerang perakam video namun cuba ditenangkan dua lelaki yang berada berhampiran wanita itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd

