Manfaat tempoh 30 tahun

Manfaat tempoh 30 tahun

SHAH ALAM – Tempoh 30 tahun menjelang Malaysia mencapai usia 100 tahun kemerdekaan perlu dimanfaatkan untuk membina generasi yang mempunyai nilai moral, integriti dan karakter kukuh.

Pengasas Yayasan Sinar Untuk Malaysia yang juga Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, tempoh ini perlu dimanfaatkan dengan setiap individu berhenti sejenak untuk melakukan refleksi dan memikirkan peranan masing-masing dalam merancang masa depan keluarga, masyarakat serta negara.

“Bila umur kita 10 tahun, kita fikir orang yang berumur seperti sekarang sudah tua, ibu dan ayah kita pun sudah tua. Maknanya masa berlalu sangat pantas.

“Jadi sekarang kita perlu fikir kenapa kita buat #QuranHour, supaya kita berhenti sejenak. Berhenti setiap satu jam untuk melakukan refleksi.

Manfaat tempoh 30 tahun

“Jadi panggilan ini juga untuk kita berhenti, melakukan refleksi dan merancang, membantu merancang negara. Bagaimana kita gunakan diri kita untuk memilih pemimpin dan bagaimana kita memilih pasangan,” katanya ketika temu bual eksklusif bersama Sinar Harian.

Beliau berkata, kempen #Malaysia100 ditujukan kepada semua rakyat Malaysia supaya bersama-sama memulakan perbualan mengenai perkara yang boleh dilakukan bagi membentuk masa depan lebih baik.

Menurutnya, usaha itu boleh dimulakan dalam keluarga sebelum diperluaskan kepada kampung, komuniti dan jemaah.

“Kalau dia sayangkan keluarga dan diri sendiri, kita sebagai ibu bapa kena bertanggungjawab membentuk karakter dan masa depan anak-anak.

“Jadi sekurang-kurangnya kita bersama-sama memulakan perbualan, memulakan dialog mengenai apa yang masing-masing boleh buat. Contohnya keluarga kita apa yang boleh kita buat, kampung kita apa yang boleh kita buat dan komuniti kita apa yang boleh kita buat,” jelasnya.

Hussamuddin berkata, masyarakat juga perlu mempunyai sasaran bagi tempoh 30 tahun akan datang supaya setiap individu dapat memainkan peranan dalam merancang masa depan masing-masing.

“Saya terlibat dalam merancang masa depan anak saya, masa depan kampung saya, masa depan syarikat saya dan masa depan negara saya,” ujarnya.

Sementara itu katanya, usaha mengembalikan masyarakat kepada nilai dan prinsip yang baik perlu diberi perhatian bagi membentuk keadaan sosial yang lebih baik.

Ujarnya, masyarakat kini semakin mudah memaki dan marah antara satu sama lain, sedangkan keadaan itu boleh ditangani sekiranya nilai yang baik kembali menjadi pegangan.

“Benda ini boleh dicapai kalau kita ada sistem nilai. Jadi kita mesti kembali kepada nilai. Kita meninggalkan nilai dan prinsip yang baik itu, sebab itu kita perlu kembali kepada nilai dan kebaikan,” katanya.

Beliau berkata, keluarga mempunyai peranan penting dalam membentuk karakter anak-anak terutama ketika pengaruh terhadap generasi muda kini semakin berubah.

“Dulu pengaruh yang paling kuat adalah mak. Sekarang pengaruh itu adalah YouTube. Jadi kita perlu berhenti seketika untuk berfikir dan melakukan refleksi semula,” tambahnya.

Perlu mula dari sekarang

Hussamuddin berkata, usaha mempersiapkan generasi akan datang perlu dilakukan dari sekarang kerana anak yang berusia setahun hari ini akan mencapai usia 30 tahun ketika Malaysia mencapai usia 100 tahun.

“Apabila berumur 30 tahun, dia mungkin menjadi eksekutif atau pengurus muda dan dia juga akan menjadi seorang ayah atau ibu.

“Jadi kita kena persiapkan. Apa yang kita mahu bawa ialah sistem nilai, nilai moral dan karakter bangsa kita,” katanya.

Mengulas mengenai isu rasuah, Hussamuddin berkata, generasi baharu perlu dibesarkan dalam persekitaran yang menekankan nilai dan integriti sejak di bangku sekolah sehingga ke universiti.

“Kalau generasi baharu dibesarkan dalam persekitaran yang bercakap mengenai sistem nilai di sekolah, sekolah menengah dan universiti pula bercakap mengenai integriti, dengan sendirinya ekosistem itu akan menjadi ekosistem orang yang mempunyai integriti.

“Sekarang kita tidak berintegriti pun kita tidak rasa apa-apa kerana ramai orang tidak berintegriti,” tegasnya.

Beliau berkata, masyarakat juga perlu kembali mempunyai rasa malu terhadap perbuatan yang dianggap salah dan tidak berintegriti.

“Dulu di sekolah, kalau dituduh pun kita sudah rasa malu. Zaman dahulu, sebelum ditangkap mencuri pun kalau dicop mencuri atau difitnah, kita sudah rasa malu. Sekarang orang tidak ada rasa malu.

“Jadi itu yang kita mahu bawa kembali kepada sistem nilai. Ini sebenarnya gerakan nilai, gerakan moral Malaysia 100, iaitu gerakan nilai dan moral untuk menuju usia 100 tahun serta memastikan rakyat Malaysia mempunyai nilai,” tambah beliau.

 

Scroll to Top