KETAPANG – Seorang petani di Ketapang, Kalimantan Barat di Pulau Borneo, Indonesia dikenali sebagai Jais dalam perjalanan ke kebun miliknya ketika dia menemui seekor orang utan dalam keadaan lemah di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran kawasan kebakaran.
Dia bersama penduduk kampung yang lain bertindak segera meminta bantuan pihak berkuasa.
Kira-kira dua jam kemudian, wakil Yayasan Inisiasi Alam Rehabilitasi Indonesia tiba bersama seorang doktor haiwan untuk memberikan rawatan kepada haiwan itu. Pada ketika itu, orang utan berkenaan telah pengsan. Orang utan itu dinamakan Sampurna sempena nama kampung tempat ia ditemui.
Ketua Pegawai Eksekutif yayasan tersebut, Karmele Llano Sanchez berkata, haiwan dianggarkan berusia kira-kira 20 tahun itu tidak mendapat oksigen yang mencukupi.
“Orang utan itu mengalami hipoksia akibat asap yang sangat tebal di kawasan tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, doktor yang merawat Sampurna memberitahu, ia dipercayai mengalami jangkitan pernafasan akut, namun tiada kecederaan parah akibat kebakaran.
Rawatan awal terhadap Sampurna melibatkan penggunaan tiub kecil yang dimasukkan ke dalam hidungnya untuk menyalurkan oksigen manakala cecair disalurkan ke tubuhnya melalui saluran intravena.
Menurut Sanchez, orang utan itu akan dipindahkan ke sebuah pusat pemulihan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Ia akan dilepaskan semula ke habitat liarnya setelah pulih. Kira-kira tujuh ekor orang utan telah diselamatkan akibat kebakaran setakat ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan pemerintah bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada usaha mengawal api daripada terus merebak, tetapi juga perlu bersedia menghadapi kesan jangka panjang terhadap kesihatan awam, hutan dan hidupan liar. – Agensi