JAKARTA, – Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia pada Selasa meluluskan pelantikan pemangku Gabenor Bank Indonesia (BI) Destry Damayanti sebagai gabenor baharu bank pusat berkenaan menggantikan Perry Warjiyo yang meletakkan jawatan pada Julai.
DPR juga meluluskan pelantikan Timbalan Gabenor BI Aida S. Budiman sebagai timbalan gabenor kanan dan Penolong Gabenor BI Solikin M Juhro sebagai timbalan gabenor dengan ketiga-tiga mereka bakal berkhidmat bagi tempoh 2026 hingga 2031.
Pengerusi Suruhanjaya XI Mukhamad Misbakhun berkata suruhanjaya itu memilih Destry, Aida dan Solikin menerusi perbincangan serta konsensus selepas menjalankan ujian kelayakan selain kesesuaian terhadap calon-calon berkenaan pada 26 dan 27 Ogos.
Menurut beliau, barisan kepimpinan baharu itu diharapkan dapat mempermudah BI untuk melaksanakan tugas secara lebih bertumpu dan bersasar terutamanya dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi selain mewujudkan peluang pekerjaan.
“Komitmen ini (menggalakkan pertumbuhan ekonomi, penciptaan peluang pekerjaan) mesti dibuktikan menerusi pelaksanaan peraturan dan garis panduan operasi yang jelas bagi dasar-dasar Bank Indonesia,” kata Mukhamad.
Beliau berkata demikian sewaktu membentangkan laporan suruhanjaya itu pada persidangan plenari keempat DPR bagi penggal 2026 hingga 2027.
Perry meletakkan jawatan sebagai gabenor BI pada 25 Julai selepas memimpin bank pusat itu sejak 2018 dengan Destry yang berkhidmat sebagai timbalan gabenor kanan sejak 2019 kemudiannya dilantik sebagai pemangku gabenor.
Presiden Indonesia Prabowo Subianto kemudiannya mencalonkan Destry sebagai calon tunggal untuk menggantikan Perry secara tetap manakala Aida dicalonkan sebagai calon tunggal bagi mengisi jawatan timbalan gabenor kanan yang dikosongkan oleh Destry.
Sementara itu, Solikin dan Pengarah Eksekutif Jabatan Pengurusan Mata Wang BI M Anwar Bashori masing-masing dicalonkan bagi jawatan timbalan gabenor yang disandang oleh Aida dengan Suruhanjaya XI memilih Solikin selepas menjalani ujian kelayakan dan kesesuaian.
Ketiga-tiga nama yang terpilih berkenaan kemudiannya dirujuk ke persidangan plenari pada Selasa untuk kelulusan. – Bernama
—