PETALING JAYA: Semua sekolah, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak akan ditutup serta-merta sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan masing-masing melebihi 200 susulan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan di Sarawak.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata, ia antara beberapa langkah di bawah Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan yang menetapkan tindakan bersepadu antara agensi apabila keadaan jerebu bertambah buruk.
“Sekolah, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak akan ditutup serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200, manakala semua aktiviti luar perlu dihentikan apabila bacaan melebihi 100.
“Sekolah, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak perlu memantau bacaan IPU secara berterusan serta membuat persediaan untuk penutupan sekiranya trend bacaan menunjukkan peningkatan menghampiri paras 200,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengaktifkan jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat daerah, negeri atau kebangsaan sekiranya bacaan IPU kekal melebihi 150 selama lebih 24 jam.
Jelasnya, operasi pembenihan awan akan dilaksanakan tertakluk kepada kewujudan awan dan keadaan cuaca yang sesuai, apabila bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.
Memetik laporan Pusat Meteorologi Khas ASEAN semalam, beliau berkata, sebanyak 261 titik panas dikesan di Kalimantan, 63 di Sumatera dan dua di Malaysia, masing-masing satu di Johor serta Sarawak.
“Asap rentas sempadan sederhana hingga tebal dikesan meliputi Kalimantan Barat, Tengah dan Utara, Sabah, Sarawak, Brunei serta sebahagian Palawan di Filipina,” katanya.
Beliau berkata, Sekretariat ASEAN mengaktifkan Tahap Amaran 3 bagi rantau ASEAN Selatan berkuat kuasa Khamis lalu susulan keadaan titik panas dan jerebu yang semakin buruk.
Katanya, JAS akan terus memantau kualiti udara, titik panas, keadaan cuaca dan perkembangan jerebu di seluruh negara, dengan maklumat berkenaan digunakan bagi menyelaras usaha tindak balas antara kementerian serta agensi terbabit dalam pengurusan bencana jerebu.
“JAS Sarawak terus menjalankan rondaan dan penguatkuasaan menerusi Operasi Pencegahan Pembakaran Terbuka, khususnya di kawasan berisiko tinggi.
“Selain itu, aspek keselamatan anggota yang menjalankan kerja lapangan turut diberi perhatian memandangkan bacaan IPU di beberapa stesen pemantauan menghampiri 300.
“Pemain industri perlu memastikan pelepasan daripada sumber utama dikurangkan di kawasan yang merekodkan bacaan IPU melebihi 300,” katanya.- UTUSAN
