Jenazah tiga beranak maut kemalangan LPT1 selamat dikebumikan

am@hmetro.com.my

Kuantan: Jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur 1 (arah timur) di kawasan Lanchang, Temerloh, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad, malam ini.

Pasangan suami isteri, Muhammad Nazatul Nazmi, 32, dan Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, dan anak lelaki mereka, Muhammad Armaan Nazeef, 4, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, di sini pada jam 10.30 malam.

Sebelum itu, jenazah tiga beranak selamat tiba di Masjid Saidina Ali Bin Abi Talib, Bukit Sekilau di sini pada jam 7 malam dan solat jenazah dilaksanakan sebelum ke tanah perkuburan.

Kira-kira 500 orang termasuk ahli keluarga dan rakan Allahyarham hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.

Terdahulu, jenazah tiga beranak itu dituntut waris selepas bedah siasat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAH), Temerloh pada jam 1 tengah hari tadi dan dibawa ke Masjid Paya Luas, Temerloh untuk dimandi, dikafan dan disolatkan.

Berdasarkan maklumat kemalangan yang diterima polis jam 10.55 malam, empat terbunuh, termasuk tiga beranak yang menaiki Proton S70 dalam kemalangan ngeri membabitkan 11 kenderaan.

Turut terbunuh penumpang Honda CRV, Seow Beng Wain, 55, dari Shah Alam, Selangor.

Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku dipercayai berpunca daripada lori tangki simen yang hilang kawalan lalu melanggar beberapa kenderaan lain yang sedang bergerak perlahan.

Akibat kemalangan itu, pemandu lori tangki berusia 52 tahun dan pemandu Honda CRV berusia 18 tahun parah.

Pemandu dan penumpang lapan kenderaan lain termasuk 30 penumpang bas ekspres tidak cedera.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top