NARATHIWAT (THAILAND): Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) yang merupakan kumpulan pemisah terbesar di Selatan Thailand mahu pemerintahan sendiri secara menyeluruh di tiga wilayah bergolak.
Bagaimanapun, BRN tidak menuntut kuasa mutlak atau kemerdekaan, sebaliknya mahu pemerintahan berasaskan perkongsian kuasa bagi mentadbir Narathiwat, Pattani dan Yala menjadi satu wilayah.
Jurucakap Pasukan Perunding BRN, Dr. Nikmatullah Seri berkata, cadangan itu merangkumi tiga pihak berkuasa iaitu seorang pentadbir atau wali al-amri, majlis syura dan pentadbir sistem kehakiman syariah.
Katanya, wali al-amri yang dipilih rakyat mesti berasal dari tiga wilayah berkenaan, berbangsa Melayu dan beragama Islam.
“Ahli syura atau badan perundangan atau ahl al-hal wal-aqd juga akan dipilih oleh rakyat manakala yang ketiga adalah sistem kehakiman mahkamah syariah.
“Ini bukan impian kosong tetapi kami akan mewujudkan sistem pemerintahan yang adil, membawa kemakmuran dan keamanan di wilayah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nikmatullah turut membangkitkan isu pengagihan hasil kekayaan sumber asli Pattani khususnya gas apabila Kerajaan Thailand dan Malaysia masing-masing menerima 50 peratus hasil gas yang diekstrak dari situ, sedangkan tiga wilayah berkenaan didakwa tidak memperoleh apa-apa.
Katanya, kekayaan sumber asli termasuk gas, minyak, emas dan hasil pertanian tidak dinikmati secara adil oleh masyarakat Pattani.
“Masalahnya adalah pengagihan kekayaan yang tidak sama rata. Ia tidak adil. Orang Pattani dan masyarakat Pattani berada di pinggir pengagihan kekayaan,” ujarnya.
Beliau berkata, pada 1979, Kerajaan Thailand dan Malaysia mencapai persetujuan untuk berkongsi gas yang diekstrak dari Pattani dengan masing-masing menerima 50 peratus hasil.
“Tetapi apa yang orang Pattani dapat? Perjanjian itu (akan) tamat pada 2029. Pada hakikatnya, pengagihan kekayaan memerlukan persetujuan dan penyertaan daripada orang Pattani.
“Tetapi di bawah sistem tadbir urus Thailand, mengapa tanah dan rakyat kita menjadi yang paling miskin. Ke mana perginya semua kekayaan ini? Sumber asli kita, gas dan minyak kita, emas dan mineral kita,” soalnya.
Katanya, perjuangan BRN adalah bagi mengubah nasib rakyat serta membina masa depan yang lebih baik, makmur dan aman.
Dalam pada itu, Thailand masih memerlukan Malaysia sebagai fasilitator utama bagi menggerakkan semula Proses Dialog Damai Selatan Thailand termasuk membawa wakil Kerajaan Thailand dan BRN kembali ke meja rundingan.
Ketua Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thailand (PEDP/RTG), Thanut Suvarnananda berkata, rundingan antara kedua-dua pihak perlu terus diadakan di Kuala Lumpur dengan Malaysia berperanan memudah cara proses berkenaan.
Katanya, hubungan sejarah dan budaya merentasi sempadan menjadikan penglibatan Malaysia penting dalam usaha mencari penyelesaian terhadap konflik Selatan Thailand.
“Ya, Thailand mahu Malaysia kekal sebagai fasilitator utama yang akan memudahkan proses dialog damai berkenaan. Hubungan sejarah dan budaya merentasi sempadan menjadikan penglibatan Malaysia penting.
“Bagaimanapun, Indonesia mungkin boleh turut serta sebagai penyokong atau konduktor di meja rundingan kerana pengalaman negara itu sendiri,” katanya.

Thanut berkata, Thailand masih menunggu pelantikan rasmi fasilitator baharu oleh Kerajaan Malaysia bagi menggantikan Datuk Mohd. Rabin Basir yang tamat tempoh perkhidmatan.
Katanya, rundingan akan datang memberi tumpuan kepada langkah mengurangkan keganasan, selain membuka jalan kepada kewujudan zon selamat di tiga wilayah berkenaan.
“Pengurangan pusat pemeriksaan dan langkah keselamatan lain juga boleh dipertimbang di dalam zon selamat itu. Apa yang ada sekarang kadangkala mengganggu kehidupan seharian penduduk, terutama ketika perayaan.
“Bagaimanapun cadangan itu perlu dibincangkan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa Thailand termasuk tentera sebelum ia boleh dibawa ke meja rundingan,” ujarnya. – UTUSAN
