am@hmetro.com.my
Georgetown: Wanita cedera selepas terkena serpihan struktur konkrit sebuah bangunan warisan dalam kejadian di Lebuh China di sini, malam tadi.
Kejadian itu dikatakan berlaku kira-kira jam 11.30 malam ketika masyarakat Cina merayakan Festival Hantu Lapar (Hungry Ghost Festival).
Difahamkan, kabel penyambung yang dipasang pada dinding tercabut, menyebabkan struktur di penjuru pada bangunan berkenaan tertanggal dan serpihannya mengenai mangsa.
Mangsa yang berusia 20-an itu mengalami cedera dan dibawa ke hospital bagi diberi rawatan.
Tinjauan mendapati kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membersihkan sekitar lokasi dan memasang pita keselamatan.
Sementara itu, peniaga berhampiran yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, dia sedang melayani pelanggan di premis.
Katanya, sekitar laluan berkenaan pada waktu itu dipenuhi orang awam yang mengambil bahagian dan melihat perarakan festival berkenaan.
“Saya tidak tahu mengenai kejadian itu sehingga terdengar bunyi bising dari arah luar kedai.
“Selepas itu barulah saya dapat tahu bahawa serpihan konkrit daripada bangunan berkenaan jatuh dan mengenai wanita terbabit dan seketika kemudian, saya lihat ada wanita yang dibawa menaiki ambulans,” katanya.
Pada 4 Ogos lalu, media melaporkan mengenai kejadian membabitkan runtuhan batu dan kayu daripada bahagian rasuk di tingkat satu bangunan warisan di Lebuh Armenian, di sini, menyebabkan dua pelancong warga Sri Lanka mengalami cedera.
Pemeriksaan mendapati rasuk kayu bangunan itu rosak akibat serangan anai-anai sebelum runtuh.
© New Straits Times Press (M) Bhd
