Disiplin 'kuku besi' Mourinho kembali di Madrid

Madrid: Jose Mourinho tidak membuang masa untuk menerapkan identitinya di Real Madrid, dengan sistem disiplin baharu pengendali Portugal itu dilaporkan jauh lebih tegas berbanding sebelum ini.

Menurut laporan media Sepanyol, Defensa Central, Mourinho menghapuskan sistem denda lama kelab yang mengenakan bayaran antara £85 hingga £250 (RM465 hingga RM1,368) terhadap pemain yang lewat, sebaliknya menggantikannya dengan hukuman yang lebih memberi kesan – kedudukan mereka dalam kesebelasan utama.

Sejak mengambil alih, Mourinho dilaporkan menjadikan ketepatan masa, latihan, pemulihan dan pemakanan sebagai aspek utama dalam sistem baharunya.

Pemain yang tiba lewat ke sesi latihan di luar tempoh masa dibenarkan akan dihantar ke gimnasium dan tidak menyertai latihan utama, sebelum digantung daripada beraksi pada perlawanan berikutnya.

Pendekatan mengutamakan disiplin itu tidak mengejutkan, mengambil kira cabaran yang menantinya.

Mourinho dilaporkan mendapat inspirasi daripada pesaingnya kini, Hansi Flick yang memperkenalkan peraturan ketat berkaitan kelewatan ketika tiba di Barcelona dua tahun lalu, dengan pemain yang lewat pada awalnya dihantar ke bangku simpanan untuk perlawanan berikutnya.

Flick mengubah polisi itu pada Februari lalu dengan menggantikan hukuman di bangku simpanan kepada denda besar terhadap pemain yang lewat pada hari perlawanan.

Pendekatan tegas pengendali Jerman itu membantu mengubah mentaliti Barcelona, dengan gergasi Catalan berkenaan menjuarai liga dalam dua musim terakhir.

Revolusi terbaru Mourinho tidak terhenti di situ.

Pengendali Real itu turut mengetatkan peraturan terhadap pemain yang mengalami kecederaan, dengan menegaskan kerja pemulihan mesti dilakukan di Valdebebas, pusat latihan kelab.

Mourinho juga dilaporkan mengambil alih kawalan terhadap pemakanan skuad, dengan pemain dijangka mematuhi panduan pemakanan kelab dan bukannya memilih makanan mengikut kehendak sendiri.

Peraturan itu mengingatkan kepada pendekatan yang pernah digunakan Arsene Wenger ketika mengendalikan Arsenal.

Dominasi Barcelona ke atas Real sejak kebelakangan ini amat ketara apabila Barca memenangi enam daripada tujuh pertemuan El Clasico terakhir dalam semua pertandingan, selain menjaringkan 22 gol dalam perlawanan terbabit.

Mourinho pastinya berharap dapat mengubah trend itu, namun terlebih dahulu dia perlu menyelesaikan masalah yang berlaku dalam pasukannya sendiri.

Real Madrid mengharungi kempen bergolak musim lalu apabila Xabi Alonso dipecat di pertengahan musim susulan laporan mengenai masalah pengaruh pemain membabitkan bintang seperti Kylian Mbappe dan Vinicius Jr.

Alvaro Arbeloa menggantikannya pada Januari, namun masalah berkenaan berterusan hingga separuh kedua musim apabila Madrid akhirnya menamatkan kempen tanpa sebarang trofi.

Ia masalah yang sudah begitu dikenali Mourinho ketika berada di Madrid.

Ketika pertama kali mengambil alih Real pada tahun 2010, Barcelona sudah memenangi dua kejuaraan liga berturut-turut di bawah kendalian Pep Guardiola dan menjadi kuasa dominan di Sepanyol.

Pemenang tiga gelaran Liga Perdana Inggeris itu kini mendedahkan dalam dokumentari Netflix tiga bahagian terbarunya, ‘Mourinho’, betapa pantasnya dia menyedari wujud masalah dalam bilik persalinan baharunya.

Mengenang hubungannya dengan penjaga gol merangkap kapten ketika itu, Iker Casillas, Mourinho berkata: “Perkara pertama yang dia katakan kepada saya ialah, ‘Saya datang untuk meminta lebih banyak masa cuti bagi pemain pasukan kebangsaan’.

“Kemudian dia meminta saya melambatkan latihan selama sejam kerana pada waktu saya mahu memulakan sesi latihan, keadaan trafik di Madrid sangat sesak.

“Kali ketiga dia memberitahu saya mereka tidak mahu pergi ke hotel, sebaliknya lebih suka bertemu pada hari perlawanan dan terus ke stadium. Saya sedar mereka sudah dimanjakan.”

Kenyataan mengenai melambatkan waktu latihan itu amat menarik perhatian, terutama selepas pendekatan terbaru Mourinho terhadap ketepatan masa.

Tempoh pertama Mourinho di Madrid akhirnya membuahkan hasil yang diinginkannya, walaupun Barcelona memenangi kejuaraan liga pada musim pertamanya.

Pada musim 2011-12, skuad Real kendalian Mourinho menumbangkan Barcelona pimpinan Guardiola untuk menjuarai La Liga dengan rekod 100 mata.

Mereka turut menjaringkan 121 gol sepanjang kempen itu, mengatasi Barcelona yang meledak 114 gol.

Kini, Mourinho berharap pendekatan disiplin cara lama itu mampu menghasilkan keajaiban buat kali kedua – dan kali ini, nampaknya pertempuran pertama bermula jauh sebelum pemain turun ke padang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top