Nenek 86 tahun maut dibakar cucu

PALEMBANG – Seorang nenek berusia 86 tahun maut selepas dipercayai dibakar cucunya sendiri dalam kejadian di Palembang, Sumatera Selatan, pada Jumaat.

Mangsa, Maria, sedang memasak di dapur rumahnya di Jalan Batujajar, Lorong Jambu, Kelurahan Sukarami, Kecamatan Sukarami, kira-kira jam 6 pagi waktu tempatan ketika cucunya, Merin, 27, datang dan didakwa menyiram petrol ke arahnya.

Menurut Ketua Polis Sektor Sukarami, Kompol Alex Andriyan, pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran itu kira-kira jam 6.50 pagi waktu tempatan.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, anggota mendapati bahagian belakang sebuah rumah telah terbakar,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Saksi, Katarina, 51, turut terkena sambaran api dan menjerit meminta pertolongan sebelum penduduk berhampiran datang membantu memadamkan kebakaran.

Anak mangsa, Agustina, 47, berkata, suspek datang ke dapur dalam keadaan marah dan bercakap tidak jelas sebelum kejadian berlaku.

Menurutnya, dia sempat mematikan dapur berhampiran ibunya sebelum meninggalkan ruang berkenaan untuk mengejutkan anak-anaknya ke sekolah.

Bagaimanapun, ketika kembali ke dapur, dia mendengar bunyi api menyambar dan mendapati ibunya sudah terbaring dalam keadaan terbakar.

“Saya terkejut dan terus menanggalkan pakaian ibu kerana api sudah membakar tubuh serta rambutnya. Saya kemudian meminta pertolongan penduduk,” katanya.

Maria dibawa ke hospital untuk menerima rawatan namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4 petang waktu tempatan selepas beberapa jam menerima rawatan.

Sementara itu, Merin dibawa ke Hospital Ernaldi Bahar untuk pemeriksaan dengan ditemani ibu bapanya.

Polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan di samping menyiasat punca sebenar insiden tersebut. – Agensi

Scroll to Top