Jambatan Sungai Johor selamat diguna, kapal hanyut telah dialih

KOTA TINGGI: Struktur Jambatan Sungai Johor di Telok Sengat, di sini selamat untuk digunakan dimana keseluruhan laluan boleh dilalui kenderaan awam seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

Ketua Pegawai Eksekutif Senai-Desaru Expressway Berhad (SDEB), Mohamad Yasrif Mohamed Shariff berkata, kapal yang hanyut sehingga melanggar jambatan berkenaan telah dialih sepenuhnya pada pukul 3.16 petang tadi.

Katanya, pasukan teknikal telah digerakkan serta-merta ke lokasi kejadian bagi meneliti keadaan struktur jambatan selepas mendapat makluman berhubung kejadian pada pukul 2.30 petang.

“Hasil pemeriksaan profesional yang dijalankan secara terperinci mendapati bahawa struktur Jambatan Sungai Johor berada dalam keadaan yang selamat serta tidak menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.

“Sehubungan dengan pengesahan positif tersebut, pihak SDEB mengesahkan bahawa Jambatan Sungai Johor adalah selamat untuk digunakan dan keseluruhan laluan boleh dilalui seperti biasa tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Mohamad Yasrif, pihaknya sentiasa meletakkan keselamatan sebagai keutamaan dan akan terus memantau keadaan struktur jambatan dari semasa ke semasa.

“Pengguna lebuh raya diingat agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, memandu dengan berhati-hati serta mengikuti sebarang arahan keselamatan yang dikeluarkan.

“Pihak SDEB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pengguna atas kesabaran serta kerjasama yang diberikan sepanjang insiden tersebut dikendalikan,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top