Mayat Muhammad Thaqif ditemukan terapung berhampiran lokasi Alif Taqiuddin dijumpai

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Mayat kedua daripada empat remaja yang dilaporkan dihanyutkan arus ketika mandi Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar, di sini, ditemukan terapung pada tengah hari ini.

Mayat Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor, 16, ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 1.53 tengah hari berhampiran dengan lokasi mayat mangsa pertama yang ditemukan semalam.

Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Tanjung Sedili Leftenan Komander Mohamed Shafiee Bakar berkata, identiti mangsa kedua itu disahkan sendiri oleh ahli keluarganya yang dipanggil selepas penemuan itu.

“Mayatnya ditemukan kira-kira 800 meter dari lokasi dilaporkan hilang dan berhampiran dengan lokasi penemuan mayat mangsa pertama,” katanya, di sini, hari ini.

Semalamn, mangsa pertama yang ditemukan lemas dikenal pasti sebagai Alif Taqiuddin Kamal Hasrul, 16, selepas dijumpai pada 1.25 tengah hari.

Dua lagi mangsa yang masih belum ditemukan adalah Mohamad Haiman Fitri Supian dan Muhammad Adib Hafiy Kamal, juga masing-masing berusia 16 tahun.

Empat remaja itu dilaporkan hilang dihanyutkan arus, manakala dua lagi berjaya diselamatkan selepas mandi di Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar, di sini, semalam.

Kejadian itu dikatakan berlaku apabila seorang daripada mereka terkapai-kapai sebelum rakannya yang lain cuba menyelamatkannya sebelum turut ditarik arus.

Menurut Mohamed Shafiee, operasi SAR hari kedua semalam dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta komuniti masyarakat dan nelayan tempatan.

“Kita akan kekalkan radius pencarian dua lagi mangsa pada jarak dua batu nautika.

“Cabaran dihadapi adalah ombak yang besar setinggi 1.5 meter,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top