Saya hanya pimpin dasar, orang tengah – Mujahid

BANGI: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof menegaskan, beliau hanya memimpin dasar tanpa melibatkan sebarang campur tangan dalam pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) sepanjang berkhidmat sebagai anggota Kabinet.

Menurutnya yang juga Ahli Dewan Negara, keputusan berkaitan pengurusan dan aspek profesional TH ketika itu diserahkan kepada pihak yang mempunyai kepakaran, manakala beliau bertanggungjawab memastikan dasar yang diputuskan kerajaan dapat dilaksanakan termasuk dalam isu penubuhan Syarikat Tujuan Khas (SPV).

Jelasnya, pelan tersebut merupakan kerangka lebih besar yang kemudiannya membawa kepada penubuhan syarikat tujuan khas (SPV) bagi mengurus aset tidak berprestasi TH.

“Saya cuma pimpin dasar sahaja dan menjadi orang tengah antara TH dengan Kabinet.

“Saya membentangkan (cadangan) dan Alhamdulillah diluluskan. SPV merupakan produk idea yang lebih besar iaitu pelan pemulihan dan penstrukturan semula.

“Kebetulan Menteri Kewangan ketika itu ialah Lim Guan Eng. Itu yang timbul isu kata jual dekat Cina,” katanya ketika sesi Dialog Ummah: Realiti Masa Depan TH di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan sebelum ini menegaskan, tiada aset TH dijual kepada bukan Islam atau orang Cina seperti yang didakwa sesetengah pihak sebelum ini.

Beliau berkata, aset yang dipindahkan menerusi Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH adalah kepada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB), sebuah syarikat tujuan khas milik kerajaan.

Mujahid berkata, pada ketika itu, pelaksanaan pelan berkenaan berjaya mencapai sasaran jangka pendek dalam tempoh kira-kira tiga bulan tanpa suntikan dana daripada kerajaan.

Mujahid turut menjelaskan beliau sengaja mengambil pendirian untuk berdepan kritikan politik supaya pihak profesional di TH dapat melaksanakan tugas tanpa campur tangan politik.

“Saya beritahu kepada Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Lembaga TH ketika itu untuk buat sahaja kerja mereka, soal orang hendak serang TH serah kepada saya,” katanya.

Namun, Mujahid berkata, beliau kemudian menjadi antara pihak yang paling menunggu keputusan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengetahui sama ada tuduhan terhadap proses pemulihan TH ketika itu mempunyai asas.

“Saya orang pertama yang paling bergembira apabila RCI diumumkan kerana kebanyakan daripada tuduhan-tuduhan itu telah dijawab oleh laporan RCI,” katanya. – UTUSAN

 

Scroll to Top