am@hmetro.com.my
Melaka: Remaja lelaki yang hilang di Pantai Klebang ketika mencari ketam bersama rakan sejak semalam, ditemui terapung oleh nelayan berhampiran Pulau Upeh, hari ini.
Mangsa, pelajar Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Muhammad Arif Daniel Nizamuddin, 16, ditemukan jam 7.20 malam pada jarak dua batu nautika dari daratan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Shahrom Laji berkata, proses pengecaman dilakukan oleh waris pada 8.30 malam.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bermula sejak semalam oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM yang menggunakan kaedah selamat solo, memfokus kawasan carian berhampiran lokasi hilang.
“Pencarian turut dilakukan di celah-celah batu sekitar kawasan pesisir pantai, manakala pencarian di permukaan perairan dilakukan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Pasukan bomba turut menggunakan teknik pencarian ‘arc pattern’ pada jarak kira-kira 30 meter dari pesisir pantai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi itu membabitkan 25 anggota dari JBPM Melaka Tengah serta bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, dengan kerjasama APMM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Terdahulu, media melaporkan niat sekumpulan remaja mencari ketam batu bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka hilang di kawasan tambak laut Pantai Klebang, petang semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd

