BUKIT MERTAJAM : Polis kini sedang menggiatkan usaha memburu dua suspek yang dipercayai terlibat dengan kejadian tembakan di sebuah bengkel kenderaan terpakai berhampiran jirat Cina di Jalan Sungai Lembu, Machang Bubok di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, dalam kejadian itu, seorang lelaki tempatan cedera pada bahagian tapak tangan dipercayai akibat ditembak.
Beliau berkata, mangsa yang berusia 43 tahun sebelum itu telah didatangi oleh kedua-dua suspek yang menaiki sebuah motosikal kira-kira pukul 1.05 petang.
“Salah seorang daripada suspek kemudian melepaskan tembakan ke arah mangsa sehingga menyebabkan mangsa yang cedera melarikan diri ke kawasan perkuburan Cina bagi menyelamatkan diri.
“Pada masa yang sama, kedua-dua suspek turut melarikan diri selepas kejadian itu berlaku,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Aminuddin berkata, akibat daripada tembakan tersebut, mangsa mengalami luka-luka serta patah tulang pada bahagian tapak tangan sebelah kanan.
“Ketika ini, mangsa sedang mendapatkan rawatan lanjut di hospital dan keadaan lelaki itu dilaporkan stabil,” ujar beliau.
Susulan kejadian itu juga, Nik Aminuddin berkata, polis turut menjumpai beberapa barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden tembakan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta agar menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau berhubung dengan pegawai penyiasat, ASP Muazzam Shaaban di talian 017-4825017,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai juga diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian terbabit.-UTUSAN

