TAN Sri Hamidin Mohd Amin memohon maaf kepada ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan penyokong Harimau Malaya selepas membuat keputusan untuk tidak bertanding jawatan Presiden badan induk bola sepak negara itu.
Presiden Kehormat FAM itu berkata, keputusan berkenaan bukan mudah untuk dibuat, terutama selepas beliau dilaporkan menerima pencalonan tertinggi dan sokongan majoriti daripada sebahagian besar ahli gabungan FAM.
“Saya ingin memohon maaf dengan setulus hati kepada semua ahli gabungan FAM dan para penyokong bola sepak Malaysia yang telah memberikan kepercayaan serta sokongan kepada saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamidin berkata, beliau amat menghargai kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepadanya kerana menganggapnya sebagai satu amanah besar daripada keluarga bola sepak Malaysia.
“Saya amat menghargai sokongan yang diberikan. Bagi saya, ia satu amanah dan kepercayaan besar daripada keluarga bola sepak Malaysia yang sentiasa saya junjung.
“Namun, setelah mempertimbangkan kepentingan FAM dan masa depan bola sepak negara secara menyeluruh, saya percaya langkah ini membuka ruang terbaik untuk FAM melangkah ke era baharu, sekali gus memastikan organisasi yang kita cintai ini kekal fokus dan terus bergerak ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata, keputusan itu turut didorong keinginan untuk memastikan proses pemilihan tidak menjadi punca perpecahan dalam kalangan ahli gabungan FAM atau menjejaskan agenda pembaharuan dan pembangunan bola sepak negara.
“Saya tidak mahu sesi pemilihan ini menjadi punca perpecahan dalam kalangan ahli gabungan FAM atau menjejaskan usaha FAM untuk melaksanakan agenda pembaharuan dan pembangunan bola sepak negara.
“Sebaliknya, saya mahu melihat FAM terus kukuh, bersatu dan mendapat kembali keyakinan seluruh rakyat Malaysia terutamanya penyokong dan peminat bola sepak,” katanya.
Hamidin berkata, perkara paling penting ketika ini adalah memastikan proses peralihan kepimpinan FAM berjalan dengan baik supaya kepimpinan seterusnya dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha membina masa depan bola sepak negara.
“Apa yang lebih penting bagi saya sekarang adalah memastikan proses peralihan kepimpinan berjalan dengan baik dan kepimpinan seterusnya dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha membina masa depan bola sepak negara,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli gabungan FAM dan penyokong Harimau Malaya atas kepercayaan, sokongan serta kasih sayang yang diberikan kepadanya selama ini.
“Kepada semua ahli gabungan FAM dan penyokong Harimau Malaya, terima kasih atas kepercayaan, sokongan dan kasih sayang yang telah diberikan kepada saya selama ini.
“Sekali lagi, saya memohon maaf sekiranya keputusan ini mengecewakan mana-mana pihak. Terima kasih,” katanya.
FAM pada Khamis mengumumkan senarai rasmi calon bagi pemilihan yang akan berlangsung pada Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026, 17 September ini, dengan Datuk Ab Ghani Hassan dan Datuk Seri Shahril Mokhtar disahkan bertanding bagi jawatan Presiden untuk baki penggal 2025 hingga 2029.
Ab Ghani, yang juga Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), bakal berdepan Shahril yang merupakan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), dalam perebutan kerusi tertinggi FAM.
Pengumuman itu sekali gus mengesahkan Hamidin tidak berada dalam senarai calon Presiden, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kemungkinan beliau kembali bertanding bagi meneruskan kepimpinan di badan induk berkenaan.
Persaingan turut berlaku bagi beberapa jawatan lain apabila tiga calon memburu jawatan Naib Presiden 1 membabitkan bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Haji Rosmadi Ismail, Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Firdaus Mohamed dan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur, Syed Yazid Syed Omar.
Kerusi Naib Presiden 3 pula menyaksikan Datuk N Saaran berdepan Afizal Abu Othman.
Bagi tiga kerusi Exco kategori FA, PB PDRM, PB ATM, PBMM, MISC dan MCFA, tujuh calon bersaing iaitu Mohd Azizudin Mohd Shariff, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, Tang Chee Hong, Datuk Ramlan Askolani, Datuk Alijus dan Mohd Faizul Mohd Noor.
Lima calon pula memburu dua kerusi bagi kategori FC yang membabitkan Kelab MFL, AFL, LWN dan MPFL iaitu Datuk Kamarudin Hassan, Datuk Syed Mahadi Syed Hassan, Datuk Dr P Sugumaran, Dr Johan Kamal Hamidon dan Muhammad Faliq Firdaus Muhammad Rom.
Kategori profesional menyaksikan bekas pemain kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan berdepan Azlan Johar, manakala kategori Exco wanita menyaksikan Datuk Suraya Yaacob dicabar Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah.
Pemilihan itu berlangsung ketika FAM berada pada fasa penting untuk melakukan pembaharuan terhadap struktur pentadbiran dan tadbir urus selepas barisan Exco terdahulu mengambil keputusan meletakkan jawatan secara beramai-ramai.
Usaha penambahbaikan turut disokong penglibatan pegawai Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam audit dalaman FAM bagi mengenal pasti kelemahan pentadbiran dan memperbaikinya.
Langkah itu susulan kemelut yang tercetus tahun lalu berkaitan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain yang membawa kepada penggantungan terhadap kesemua pemain berkenaan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), selain FAM turut dikenakan denda.
