Kerjasama UMNO-Pas bukan kesinambungan MN – Asyraf Wajdi

Kerjasama UMNO-Pas bukan kesinambungan MN – Asyraf Wajdi

KOTA BHARU – Kerjasama antara UMNO-Pas ketika ini bukanlah kesinambungan kepada Muafakat Nasional (MN), kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ujar beliau, usaha itu sebaliknya adalah sokongan terhadap agenda yang mampu memperkukuhkan perpaduan orang Melayu serta mewujudkan kestabilan politik negara.

“Ini bukan MN, seperti yang disebutkan oleh Presiden UMNO, kami mendukung apa-apa jua agenda yang boleh memastikan harapan orang Melayu melihat dua parti terbesar ini ada pemuafakatan yang baik.

“Paling penting boleh memberikan suatu aspirasi besar untuk melihat keadaan politik dan negara stabil, harmoni serta makmur,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Muktamar Tahunan Pas ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) Pengkalan Chepa di sini pada Jumaat.

Kerjasama UMNO-Pas bukan kesinambungan MN – Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi (dua dari kanan) berdiri bersama kepimpinan Pas pada Muktamar Tahunan di Kota Bharu. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

Pada masa sama, beliau berkata, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai hala tuju kerjasama tersebut.

“Namun apa-apa pun, kami mendokong penyatuan ummah sebagaimana harapan majoriti rakyat.

“Penyatuan ummah tidak bermakna kita menafikan bangsa-bangsa atau agama-agama lain namun teras negara kita ialah Melayu dan Islam,” katanya.

Sebelum itu, beliau memaklumkan UMNO menerima jemputan rasmi daripada Pas untuk menghadiri Muktamar Tahunan parti itu selepas perkara tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Menurutnya, Pas juga akan menghantar wakil ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) manakala UMNO akan memenuhi jemputan menghadiri muktamar parti itu.

Dalam perkembangan sama, Asyraf Wajdi berkata, persiapan PAU berjalan lancar dengan perhimpunan yang berlangsung dari 9 hingga 12 September ini dijangka menghimpunkan hampir 7,000 perwakilan serta lebih 50,000 kehadiran keseluruhannya termasuk keluarga besar UMNO.

Scroll to Top