KOTA BHARU – Pas Terengganu mempunyai calon Perdana Menteri dari negeri itu sekiranya Perikatan Nasional (PN) mentadbir Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Perwakilan Pas Terengganu, Dr Wan Mat Sulaiman berkata, ia berdasarkan kejayaan dan pencapaian yang sudah diraih sepanjang mentadbir negeri berkenaan.
“Kita bukan sekadar memainkan politik identiti, tetapi kita juga mampu membuktikan Pas mempunyai keupayaan untuk mentadbir dengan baik serta menunjukkan prestasi yang terbaik,” katanya semasa menyampaikan usul dan perbahasan ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa di sini pada Jumaat.
Sebelum itu Pas mengakui mempunyai calon Perdana Menteri daripada parti itu bagi menghadapi PRU16 akan datang, namun belum tiba masanya untuk mendedahkan individu berkenaan.
Menurut Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, penentuan calon Perdana Menteri hanya akan dibuat selepas melihat kekuatan kerusi yang dimenangi parti-parti bertanding pada pilihan raya berkenaan.