Langkah kanan suami isteri mara ke separuh akhir Masters China

PASANGAN suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai meneruskan kebangkitan mereka di Masters China 2026 apabila menempah tiket ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying pada Jumaat.

Gandingan pilihan kelapan itu tampil kemas untuk menundukkan Gao-Wu 21-15, 21-11 dalam tempoh 35 minit pada aksi suku akhir di Shenzhen Arena.

Kemenangan berkenaan turut membolehkan Goh-Shevon mengekalkan rekod sempurna 2-0 ke atas pasangan China itu, sekali gus memastikan kemaraan ke kelompok empat terbaik kejohanan Jelajah Dunia BWF berkenaan.

Shevon berkata, perubahan taktikal lawan selepas rehat set pertama memerlukan mereka melakukan beberapa penyesuaian sebelum kembali menguasai permainan.

“Selepas rehat, kami berbincang bagaimana untuk menghalang mereka daripada terlalu kerap menolak saya ke tepi.

“Kami berjaya melakukannya dan mula mengutip mata semula apabila lawan pula sedikit hilang fokus,” katanya.

Menurut Soon Huat, persediaan berdasarkan pertemuan terdahulu banyak membantu mereka melaksanakan pelan permainan, selain memanfaatkan keadaan gelanggang untuk mengawal kelajuan bulu tangkis.

“Kami cuba kekal dengan rancangan, meningkatkan kelajuan pergerakan dan bermain lebih menyerang. Secara keseluruhan, kami dapat mengawal hanyutan dan kelajuan bulu tangkis dengan baik,” katanya.

Shevon mengakui pencapaian itu di luar jangkaan mereka selepas bergelut mencari prestasi terbaik sejak tahun lalu, terutama apabila undian kejohanan turut dianggap mencabar.

“Sejujurnya, kami tidak menjangka dapat pergi sejauh ini. Hari ini kami benar-benar mendapatkan semula keyakinan dan momentum, sekali gus memberi motivasi untuk terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Bagaimanapun, laluan ke final bukan mudah apabila Goh-Shevon bakal berdepan pilihan utama, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China, pada aksi separuh akhir pada Sabtu.

Scroll to Top