KOTA BHARU – Lebih 1,000 anak muda Pas dari seluruh negara memberi amaran kepada Pakatan Harapan (PH) bahawa generasi muda tidak mudah dipengaruhi dakyah parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, himpunan menerusi Konvoi Anak Muda sempena Sambutan 75 Tahun Pas itu menjadi isyarat jelas bahawa sokongan generasi muda terhadap perjuangan parti berkenaan masih kukuh.
Menurut beliau, kehadiran peserta dari pelbagai negeri dalam jumlah besar itu bukan sekadar menyertai program permotoran, sebaliknya membawa mesej politik yang jelas kepada PH.
“Ini adalah satu amaran kepada PH. Anak muda terus bersama Pas. Anak muda tidak mudah termakan dengan dakyah PH.
“Bersedialah untuk dikuburkan dalam PRU16. Anak muda akan menjadi penggali kubur kepada PH nanti,” katanya.

Lebih 1,000 anak muda Pas dari seluruh negara memberi amaran kepada Pakatan Harapan (PH) bahawa generasi muda tidak mudah dipengaruhi dakyah parti itu menjelang PRU16.
Konvoi berkenaan bermula dengan peserta berkumpul di Pusat Khidmat DUN Panchor sebelum bergerak menuju ke Dataran Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini.
Ketibaan peserta disambut Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Afnan Hamimi Taib bersama kepimpinan Pemuda Pas Malaysia.
Program diteruskan dengan solat asar berjemaah dan sesi Pidato Anak Muda yang turut menampilkan Ketua Pengarah ARC Malaysia, Hanafi Zulkapli.
Mohd Firdaus yang juga Timbalan Ketua Pengarah DACS Pemuda Pas Malaysia memberitahu gelombang penyertaan anak muda itu membuktikan generasi baharu bersedia memainkan peranan lebih besar dalam menentukan hala tuju politik negara.
Ujarnya, golongan muda bakal menjadi antara kelompok penting yang menentukan keputusan PRU16, justeru Pas melihat mobilisasi anak muda sebagai elemen penting dalam menghadapi pilihan raya berkenaan.