TALLINN: Menteri Pertahanan Estonia, Hanno Pevkur, mengumumkan peletakan jawatan selepas kerajaan didakwa membayar 70 juta euro (RM329 juta) sebagai pendahuluan bagi pembelian peluru artileri untuk Ukraine kepada sebuah syarikat. Namun, syarikat itu tidak mempunyai rekod pengeluaran peluru itu.
Skandal itu terbongkar pada Rabu lalu selepas akhbar Eesti Ekspress melaporkan kegagalan proses perolehan, termasuk pertikaian undang-undang yang tercetus susulan kelewatan penghantaran.
Pada Ogos 2024, Estonia menandatangani kontrak dengan Datasel, syarikat berdaftar di Itali yang dimiliki syarikat India, Neco Defence Munitions, untuk membekalkan peluru artileri kepada Ukraine.
Kerajaan membayar 15 juta euro (RM70.5 juta) sebagai pendahuluan kepada syarikat berkenaan.
Pada Oktober 2024, Estonia membuat bayaran pendahuluan tambahan 10 juta euro (RM47 juta) menerusi perjanjian kedua.
Kumpulan pertama peluru sepatutnya dihantar pada November, tetapi Datasel memaklumkan terdapat masalah dan beberapa kali menangguhkan penghantaran.
Namun, Estonia menandatangani dua kontrak tambahan dengan syarikat itu, menjadikan jumlah bayaran pendahuluan kira-kira 70 juta euro. – AGENSI
