Ipoh: Seorang lelaki tempatan disyaki terbabit dalam kes kecurian seutas rantai emas di sebuah kedai emas di Batu Kurau, Larut, kelmarin, berjaya ditahan polis, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Selama Superintendan Ramzi Mahmudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kecurian seutas rantai emas bernilai kira-kira RM36,500 di premis itu pada kira-kira jam 3.15 petang kelmarin.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek berusia 30 tahun itu mengunjungi premis berkenaan sebanyak dua kali iaitu pada Rabu dan Khamis lalu sebelum menyamar sebagai pelanggan dan melarikan barang kemas berkenaan.
“Hasil siasatan dan tindakan pantas, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan pada awal pagi semalam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
“Suspek direman selama empat hari sehingga 7 September bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Ramzi berkata, polis turut menjalankan tindakan lanjut dengan bantuan Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan merampas beberapa barangan yang dipercayai berkaitan dengan kes itu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri harta dalam bangunan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
