am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tidak lagi mewajibkan suspek memakai pakaian lokap berwarna oren ketika prosiding reman adalah langkah wajar, namun dasar baharu itu mesti dilaksanakan secara sama rata tanpa mengira status, kekayaan atau kedudukan politik seseorang.
Kriminologis, Dr Haezreena Begum Abdul Hamid, berkata perkara paling penting ialah memastikan proses siasatan tidak disamakan dengan hukuman kerana seseorang yang dibawa ke mahkamah untuk direman masih berstatus suspek dan belum disabitkan bersalah.
“Saya fikir perkara utama di sini ialah kita perlu membezakan antara siasatan dengan hukuman. Apabila seseorang dibawa ke mahkamah untuk direman, individu itu masih seorang suspek. Mahkamah pada peringkat itu belum menentukan sama ada dia bersalah.
“Jadi, dalam konteks itu, keputusan untuk tidak lagi menggunakan pakaian oren adalah wajar. Kebimbangan saya cuma dasar berkenaan perlu jelas dan dilaksanakan secara konsisten,” katanya kepada New Straits Times.
Haezreena berkata, membenarkan suspek memakai pakaian awam juga boleh mengukuhkan prinsip seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, terutama kerana pakaian oren mempunyai gambaran visual yang kuat dan sering dikaitkan dengan penjenayah.
“Masalah dengan pakaian oren ialah apabila kita melihat seseorang memakainya, terutama dalam gambar, kita terus mengaitkan individu itu dengan jenayah.
“Sedangkan individu berkenaan mungkin hanya sedang disiasat. Jadi, pakaian awam lebih tepat menggambarkan kedudukan sebenar mereka dalam proses keadilan jenayah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan langkah berkenaan boleh menjejaskan keyakinan masyarakat sekiranya wujud persepsi bahawa orang biasa dan individu berprofil tinggi dilayan menggunakan standard berbeza.
“Pada pandangan saya, isu lebih besar sebenarnya bukan pakaian oren. Persoalannya ialah sama ada semua orang dilayan dengan cara yang sama.
“Jika orang biasa dibawa ke mahkamah dengan pakaian oren dan bergari, tetapi seorang ahli politik atau ahli perniagaan terkenal hadir dengan pakaian awam tanpa gari, sudah tentu orang ramai akan mempersoalkan layanan dua darjat itu.
“Di situlah keyakinan masyarakat boleh terjejas,” katanya.
Haezreena berkata, SPRM perlu memperkenalkan dasar bertulis yang jelas mengenai pakaian suspek dan penggunaan gari, manakala sebarang perbezaan layanan mestilah berdasarkan pertimbangan objektif.
“Jika ada sebab untuk layanan berbeza, sama ada faktor keselamatan, risiko melarikan diri atau pertimbangan operasi, mesti ada alasan objektif.
“Status, kekayaan atau kedudukan politik seseorang tidak sepatutnya mempunyai kaitan dengannya,” katanya.
Beliau berkata, amalan sebelum ini yang menyaksikan suspek tampil di khalayak dengan pakaian oren yang mudah dikenal pasti juga boleh memberi kesan berpanjangan terhadap reputasi dan psikologi seseorang, biarpun individu berkenaan akhirnya tidak didakwa atau dibebaskan.
“Apabila gambar seseorang dalam pakaian oren sudah tersebar di mana-mana, imej itu akan terus melekat pada dirinya walaupun dia akhirnya tidak didakwa atau dibebaskan.
“Dari perspektif kriminologi, ada juga teori pelabelan. Apabila masyarakat mula melihat seseorang sebagai penjenayah, label itu boleh terus mengikutinya dalam pekerjaan, keluarga dan kehidupan sosial walaupun dia tidak pernah disabitkan kesalahan,” katanya.
Haezreena berkata, perubahan dasar berkenaan juga boleh mempengaruhi cara media melaporkan kes rasuah kerana imej suspek dalam pakaian oren kadangkala boleh mengatasi perhatian terhadap intipati prosiding mahkamah.
“Pakaian awam mungkin dapat mengurangkan gambaran visual seolah-olah seseorang itu sudah bersalah dan diharapkan dapat mengembalikan perhatian kepada siasatan serta prosiding mahkamah,” katanya.
Mengenai penggunaan gari, beliau berkata, ia tidak seharusnya dikenakan secara automatik kepada setiap individu yang ditahan, namun pada masa sama tidak boleh diketepikan hanya kerana seseorang suspek mempunyai kedudukan atau berprofil tinggi.
© New Straits Times Press (M) Bhd
