am@hmetro.com.my
Putrajaya: Jabatan Imigresen akan memperhebat operasi penguatkuasaan bagi mengesan warga asing yang memegang lebih daripada 1,300 Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dipercayai diperoleh secara haram melalui satu sindiket yang ditumpaskan melalui Op Crack.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, bahagian penguatkuasaan jabatan itu juga sedang mengumpul maklumat risikan di lapangan untuk mengenal pasti dan mengesan kedudukan warga asing yang menggunakan pas yang diluluskan secara tidak sah itu.
“Kami akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan untuk mengesan pemegang PLKS yang diluluskan secara tidak teratur ini.
“Terdapat sekurang-kurangnya 1,300 PLKS yang dipercayai berada di tangan warga asing selepas dikeluarkan melalui sindiket berkenaan.
“Sama ada melalui risikan dikumpul atau operasi bersasar, kami akan menangkap mereka,” katanya tadi.
Zakaria berkata, jabatan itu turut mengalu-alukan maklumat daripada orang awam yang dapat membantu pegawai penguat kuasa mengesan warga asing yang memegang PLKS palsu itu.
Beliau berkata, maklumat yang diterima akan membantu jabatan mengenal pasti dan menjejaki pihak yang mendapat keuntungan daripada aktiviti sindiket berkenaan.
“Yakinlah bahawa identiti mereka yang tampil memberikan maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya,” katanya.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa pegawai imigresen yang cuba mengesan pemegang PLKS yang dikeluarkan secara haram itu menghadapi jalan buntu selepas mendapati alamat yang didaftarkan juga adalah palsu.
Jabatan itu sudah menjalankan beberapa serbuan di alamat yang dikaitkan dengan PLKS sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan.
Bagaimanapun, pegawai mendapati maklumat yang didaftarkan di bawah permit berkenaan tidak sepadan dengan lokasi fizikal yang sebenar.
Zakaria berkata, walaupun sistem mereka mengandungi alamat tertentu namun premis berkenaan adalah berbeza daripada apa yang dinyatakan dalam PLKS selain maklumat majikan juga berbeza.
Jabatan itu sebelum ini menyatakan ia akan membatalkan semua PLKS yang diluluskan secara tidak sah dan mengesan pemegangnya ekoran tumpasnya sindiket yang disyaki menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) untuk memanipulasi proses kelulusan pas.
Zakaria berkata, tindakan itu adalah langkah pertama susulan penemuan kelulusan PLKS yang tidak mematuhi prosedur semasa Op Crack, iaitu operasi bersama antara Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sebelum ini, dilaporkan bahawa 12 individu, termasuk enam kakitangan Jabatan Imigresen dan seorang pegawai polis, ditahan oleh SPRM kerana didakwa terlibat dalam sindiket itu.
Siasatan mendapati sebanyak 1,306 PLKS didakwa diluluskan melalui kuota pekerja asing yang tidak digunakan, yang mengakibatkan kerugian bayaran levi dianggarkan berjumlah RM2.4 juta.
Sembilan akaun bank yang mengandungi sekitar RM300,000 juga dilaporkan dibekukan sebagai sebahagian daripada siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
