Pelepasan bahan kimia industri turut sebabkan kanser, bukan makanan dan rokok semata-mata – Sultan Perak

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelepasan bahan kimia daripada industri, asap kenderaan serta pencemaran air dan tanah tidak boleh lagi dianggap sebagai isu alam sekitar semata-mata, kerana pendedahan secara berpanjangan mempunyai kaitan dengan pelbagai jenis kanser, termasuk leukemia dalam kalangan kanak-kanak.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah apabila membincangkan usaha pencegahan kanser, masyarakat tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada faktor seperti merokok dan pemakanan.

Sebaliknya, baginda bertitah, masyarakat perlu berani membincangkan bahan yang dilepaskan kilang, asap kenderaan serta pencemaran yang mungkin disedut dan terdedah kepada kanak-kanak setiap hari.

Baginda bertitah, kewujudan kawasan yang digelar ‘cancer alleys’ atau lorong kanser di beberapa negara perlu dijadikan peringatan kepada Malaysia, khususnya dengan kewujudan koridor perindustrian serta sungai yang mengalir berhampiran kawasan kilang dan ladang.

“Ini bukan masalah yang hanya berlaku di satu negara atau industri tertentu dan corak ini wajar Malaysia jadikan sebagai peringatan dan bukannya sekadar tajuk berita.

“Beberapa tahun lalu, dokumentari BBC menjejaki sebuah komuniti yang tinggal berhampiran kawasan pengeluaran minyak dan gas secara intensif di selatan Iraq, yang mana pembakaran gas buangan secara rutin menyebabkan udara dipenuhi bahan kimia yang diketahui boleh menyebabkan kanser.

“Kanak-kanak yang tinggal di situ menunjukkan kadar leukemia, iaitu kanser darah, yang luar biasa tinggi.

“Seorang kanak-kanak lelaki yang kisahnya menjadi tumpuan utama dokumentari itu tidak sempat melihat dokumentari berkenaan disiarkan.

“Saya berkongsi perkara ini bukan untuk membawa kesedihan, tetapi kerana kisah berkenaan menjadi satu amaran yang wajar kita ambil perhatian ketika memikirkan bagaimana kita mahu menjana pertumbuhan ekonomi dan akibat yang perlu ditanggung,” titah baginda ketika merasmikan Kongres Kanser Kebangsaan Malaysia 2026 di Universiti Sunway, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Ismuni Bohari.

‘Lorong kanser’ adalah kawasan yang diperkenalkan oleh saintis dan wartawan di luar negara bagi menggambarkan kawasan industri berat yang berkembang lebih pantas berbanding langkah perlindungan yang sepatutnya melindungi penduduk di kawasan sekitar.

Titah baginda, istilah itu mula digunakan di Louisiana, Amerika Syarikat, apabila kilang kimia dibangunkan secara berderet di sepanjang Sungai Mississippi bersebelahan penempatan penduduk sekali gus menjadikan masyarakat yang tinggal di kawasan berkenaan melaporkan kadar kanser jauh lebih tinggi berbanding purata nasional.

Kawasan sama turut ditemui di Afrika Selatan, kawasan perindustrian di China dan sepanjang Delta Niger di Afrika Barat.

Dalam pada itu, baginda turut berkongsi mengenai pengalaman London memulihkan kadar kelemahan fungsi paru-paru kanak-kanak di kawasan bandar berkenaan.

Baginda bertitah, isu itu dapat dipulihkan apabila kerajaan mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebabkan berlakunya pencemaran udara.

Titah baginda, penyelidik di London menjejaki lebih 3,400 kanak-kanak selama lima tahun selepas pelaksanaan Ultra Low Emission Zone (ULEZ), yang mengenakan bayaran kepada kenderaan yang memberi pencemaran udara ketika memasuki pusat bandar.

Baginda bertitah, sebelum skim itu diperkenalkan, kanak-kanak di kota London mempunyai fungsi paru-paru lebih lemah berbanding kanak-kanak di sebuah bandar di Luton.

Namun dalam tempoh lima tahun skim itu dilaksanakan, fungsi paru-paru kanak-kanak di London mula pulih sehingga hampir menyamai kumpulan di Luton.

“Bilangan kanak-kanak London yang mempunyai fungsi paru-paru yang lemah menurun kira-kira seorang daripada tujuh kepada seorang daripada 11.

“Kerosakan yang sebelum ini dianggap oleh ramai sebagai harga yang perlu dibayar untuk kehidupan di bandar, ternyata tidak kekal,” titah baginda.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top