am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelawak veteran, Abon yang dilaporkan menjalani prosedur angioplasti di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras pada 1 September, kini, sudah dibenarkan pulang ke rumah pada petang Jumaat lalu.
Menurut isterinya, Fauziah Muksin, 64, berkata, selain makan ubat yang dibekalkan, doktor juga meminta suaminya untuk berehat sepenuhnya di rumah.
“Alhamdulillah, suami saya sudah keluar dari wad pada petang Jumaat lalu.
“Keadaan kesihatan suami juga baik dan doktor juga ada membekalkan ubat sepanjang tempoh berehat di rumah.
“Tapi, suami saya masih belum ada selera makan lagi dan hanya minum susu serta makan buah-buahan saja,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut keadaan kesihatan Abon, kata Fauziah, suaminya juga masih perlu membuat rawatan susulan di hospital.
“Insya-Allah, suami saya akan buat rawatan dialisis esok. Jika keadaannya okay, mungkin tidak perlu buat dialisis lagi,” katanya.
Terdahulu, Abon atau nama sebenarnya, Sharizan Ahmad, 66, selamat menjalani prosedur angioplasti pada Selasa lalu di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan prosedur angioplasti terpaksa ditangguhkan beberapa kali kerana terdapat kehadiran bakteria dalam badan Abon selain bacaan hemoglobin pelawak itu didapati rendah dan bacaan buah pinggangnya kurang baik.
Abon juga kembali dimasukkan ke hospital sama selepas mengalami serangan jantung kali kedua pada 15 Julai lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd

