Kuching: Yayasan Kebajikan Negara (YKN) memperkenalkan Bilik Kasih Wanita pertama di Hospital Umum Sarawak (HUS).
Ia bagi menyediakan ruang rehat yang lebih selesa dan kondusif kepada jururawat wanita, khususnya mereka yang sedang hamil atau menyusukan anak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN, Datuk Seri Nancy Shukri berkata petugas kesihatan merupakan antara barisan hadapan yang memainkan peranan penting dalam menjaga dan merawat masyarakat.
Oleh itu katanya, kebajikan serta kesejahteraan mereka juga perlu diberikan perhatian.
“Jururawat sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan pesakit menerima rawatan dan penjagaan terbaik.
“Dalam kesibukan menjalankan tugas, mereka juga memerlukan ruang yang selesa untuk berehat dan mengurus keperluan diri.
“Bilik Kasih Wanita bukan sekadar sebuah kemudahan fizikal, malah satu bentuk sokongan terhadap kesejahteraan petugas kesihatan, khususnya jururawat wanita yang sedang hamil atau menyusukan anak,” katanya yang merasmikan kemudahan tersebut hari ini.
Penyediaan kemudahan berkenaan direalisasikan menerusi tajaan daripada Perinsuran Brokar Sdn. Bhd.
Nancy berkata kerjasama tersebut membuktikan bahawa penglibatan sektor korporat melalui pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mampu memberi manfaat secara langsung kepada kumpulan sasar.
“YKN mengalu-alukan lebih banyak syarikat korporat untuk tampil sebagai rakan strategik dalam memperluas kemudahan Bilik Kasih Wanita ke hospital lain yang memerlukan.
“Kerjasama ini membolehkan lebih ramai jururawat wanita menikmati ruang rehat yang selesa dan sesuai, sekali gus menyokong kesejahteraan mereka ketika menjalankan amanah menjaga pesakit,” katanya.
YKN akan menilai pelaksanaan dan impak Bilik Kasih Wanita di Hospital Umum Sarawak sebagai rujukan bagi peluasan inisiatif tersebut ke hospital lain.
Oleh itu YKN menyeru syarikat korporat, yayasan dan organisasi yang berminat untuk menyumbang dan bekerjasama dengan YKN dalam menjayakan peluasan kemudahan berkenaan.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perinsuran Brokar Sdn. Bhd. merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah YKN, Siti Rafidah Adenan; Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron; dan Pengarah Hospital Umum Sarawak, Dr. Ngian Hie Ung.
Sementara itu, pada majlis yang sama, Nancy turut menyerahkan sumbangan bakul makanan tajaan Kumpulan Sunway kepada penghuni Anjung Kasih YKN di HUS.
© New Straits Times Press (M) Bhd

