Dewan perkahwinan terbakar, 22 terkorban

Kigali, Rwanda: Sekurang-kurangnya 22 orang maut, manakala beberapa yang lain cedera dalam kebakaran di tempat majlis perkahwinan di Kinshasa, ibu negara Republik Demokratik Congo (DR Congo) pada Sabtu, menurut seorang pegawai tempatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Kebakaran berlaku ketika majlis resepsi perkahwinan yang berlangsung di sebuah bangunan di komun Lingwala, Kinshasa, menurut Datuk Bandar Lingwala Norbert Mushinga.

“Selepas memeriksa lokasi kejadian, saya boleh mengesahkan bahawa angka korban sementara ialah 22 orang,” kata Mushinga kepada pemberita di Kinshasa.

“Orang ramai menghadapi kesukaran untuk sampai ke pintu keluar kecemasan dan semua berada dalam keadaan panik,” katanya.

Beliau berkata, siasatan telah dilancarkan bagi mengenal pasti punca kebakaran dengan kerosakan pada sistem elektrik disyaki sebagai punca.

Dalam satu kenyataan, Menteri Dalam Negeri Jacquemain Shabani mengarahkan semua gabenor wilayah supaya menjalankan pemeriksaan segera terhadap premis yang menganjurkan acara awam.

Shabani turut mengarahkan pihak berkuasa menutup mana-mana premis yang tidak memenuhi piawaian keselamatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top