Menu sihat dan berkhasiat tidak semestinya mahal, sebaliknya boleh disediakan menggunakan bahan mudah serta kos berpatutan.
Ilmu itu dikongsikan kepada Wanita Orang Asli menerusi Karnival Inspirasi anjuran Kelab Wanita Ikon Selangor di Kampung Orang Asli Donglai Baru, Hulu Langat, baru-baru ini.
Selain itu, peserta turut diberi pendedahan mengenai penjagaan diri dan kecantikan asas bagi meningkatkan keyakinan mereka.
Wanita Ikon Selangor 2026/2027, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, pelaksanaan inisiatif tersebut selaras dengan usaha kelab berkenaan dalam memperkasa komuniti wanita Orang Asli.
“Saya percaya setiap wanita berhak diberikan peluang untuk belajar dan menentukan masa depan yang lebih baik.
“Apabila memiliki kemahiran dan keyakinan, wanita bukan sahaja mampu mengubah diri, malah membawa perubahan kepada komuniti,” katanya.
Nurulhidayah berharap program berkenaan menjadi permulaan kepada usaha berterusan dalam memperkasa wanita Orang Asli menerusi ilmu, kemahiran dan sokongan yang bersesuaian dengan keperluan komuniti.

