Warga Perancis diusir dari Thailand selepas cetus ketegangan di Koh Samui

BANGKOK – Seorang warga Perancis, Kevin Dimino diarahkan meninggalkan Thailand selepas pihak berkuasa negara itu mendapati beliau berkelakuan mengancam, mengganggu serta menimbulkan ketegangan sehingga menjejaskan ketenteraman awam di pulau peranginan Koh Samui.

Perintah pengusiran itu dikeluarkan menerusi Perintah Kementerian Dalam Negeri Thailand No. 2354/2569 bertarikh 7 September 2026 dan ditandatangani Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Thailand, Anutin Charnvirakul.

Menurut perintah berkenaan, Dimino didakwa mempunyai tingkah laku termasuk mengugut, mengganggu, melakukan serangan fizikal serta menimbulkan gangguan kepada orang lain.

Beliau turut didakwa mencetuskan perpecahan berasaskan kaum dan agama, termasuk dalam kalangan pelancong, selain melakukan tindakan yang boleh mendatangkan bahaya kepada individu atau harta benda tanpa mengambil kira keselamatan serta kesusahan orang lain.

Dokumen itu menyatakan kelakuan berkenaan dianggap bertentangan dengan ketenteraman awam, moral masyarakat dan kesejahteraan rakyat, sekali gus menjadi asas kepada keputusan mengusirnya dari Thailand.

Perintah berkenaan turut mengambil kira keputusan Mahkamah Wilayah Koh Samui yang mendapati Dimino bersalah di bawah Akta Trafik Jalan Raya Thailand 1979, khususnya Seksyen 43(4), 43(8) dan 158/1(2).

Mahkamah pada asalnya menjatuhkan denda 10,000 baht (kira-kira RM1,230), namun selepas Dimino mengaku bersalah dan pengakuannya dianggap membantu pertimbangan mahkamah, hukuman itu dikurangkan separuh kepada 5,000 baht (kira-kira RM615).

Berdasarkan perintah itu, tindakan pengusiran dibuat mengikut Seksyen 5 Akta Pengusiran 1956 (B.E. 2499) serta Perkara 4 Peraturan Pejabat Perdana Menteri mengenai Pengusiran 2026.

Dimino bagaimanapun diberikan hak untuk mengemukakan rayuan kepada Perdana Menteri bagi memohon supaya perintah pengusiran itu dibatalkan atau penghantarannya keluar dari Thailand ditangguhkan.

Rayuan berkenaan perlu dibuat dalam tempoh tujuh hari selepas beliau mengetahui atau menerima perintah tersebut, selaras dengan Seksyen 8 Akta Pengusiran 1956.

Dimino, yang dikaitkan dengan Samui Exotic Park, menjadi warga asing kedua dikenakan tindakan pengusiran di bawah langkah penguatkuasaan baharu Thailand itu.

Sebelum ini, seorang warga Israel, Yaacov Ohayon, dikenakan tindakan pengusiran selepas berdepan kes berkaitan ugutan terhadap keluarga Dimino.

Jabatan Pentadbiran Wilayah Thailand turut menyiarkan Perintah Kementerian Dalam Negeri No. 2354/2569 melalui saluran rasminya, mengesahkan bahawa dokumen berkenaan adalah perintah pengusiran terhadap Dimino yang ditandatangani Anutin pada 7 September 2026.

 

 

Scroll to Top