KUALA LUMPUR – Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri diarahkan mendapatkan pendirian rasmi parti politik berdaftar berhubung cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia penting bagi membolehkan kerajaan mengetahui parti yang menyokong atau tidak termasuk sebab serta cadangan penambahbaikan RUU tersebut.
“Saya hendak minta jawapan secara bertulis daripada kira-kira 72 parti yang berdaftar. Kalau setakat tinjauan orang politik, kadangkala apa yang mereka cakap tidak mengikat parti politiknya (sekadar pendapat peribadi).
“Jadi kita hendak (tahu pendirian) parti secara formal, bertulis setuju atau tidak setuju (penggubalan RUU itu),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendanaan Politik 2026 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini pada Selasa.
Azalina berkata, BHEUU telah melaksanakan 18 sesi libat urus termasuk 12 sesi pada peringkat negeri melibatkan 1,544 peserta terdiri daripada parti politik, agensi kerajaan, ahli akademik, pertubuhan masyarakat sivil, sektor perniagaan dan belia.
Beliau berkata, menerusi sesi itu, sembilan parameter dasar sedang diperhalusi termasuk skop pemakaian, badan kawal selia, sumber dan had sumbangan, larangan sumbangan asing, saluran penerimaan dana yang boleh dijejaki serta pelaporan, pengauditan, pendedahan, kesalahan dan penalti.
Mengenai kelewatan penggubalan RUU itu, Azalina menegaskan ia bukan disebabkan oleh politik, sebaliknya kerana proses tersebut melibatkan prosedur perundangan yang memerlukan penelitian rapi.
Beliau berkata, proses reformasi tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa hanya untuk memenuhi persepsi semasa, namun pada masa sama, kekangan proses tidak boleh dijadikan alasan untuk melambatkan agenda reformasi.
Terdahulu, Azalina dalam ucapan perasmian berkata pendanaan politik bukan sekadar berkaitan kewangan parti atau calon pilihan raya, sebaliknya turut berkait secara langsung dengan integriti demokrasi, akauntabiliti politik dan keyakinan rakyat terhadap sistem pemerintahan.
Beliau berkata, tanpa kerangka perundangan yang jelas, pendanaan politik boleh membuka ruang kepada konflik kepentingan, penyalahgunaan kuasa, rasuah politik dan pengaruh tidak wajar dalam proses membuat keputusan.
Azalina berkata, Kerajaan Madani kekal komited untuk merealisasikan reformasi itu, dengan BHEUU mengambil alih kajian penggubalan RUU Pendanaan Politik sejak Mei 2023 manakala Jemaah Menteri pada 8 Sept 2023 bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggubalannya.
Secara peribadi sebagai seorang pengamal undang-undang, beliau berkata, tanpa akta berkaitan pendanaan politik, lebih banyak pihak dalam arena politik berisiko berhadapan tuduhan rasuah apabila menerima dana politik.
Beliau berkata, keadaan itu boleh berlaku kerana niat pemberian bantuan tidak diperjelas selain tiada rekod seperti resit, makluman jumlah atau butiran bantuan yang diberikan.
“Kalau tiada akta berkaitan dana politik, saya melihat banyak masalah akan wujud. Orang yang memberi bantuan dengan mudah boleh dilihat sebagai melakukan rasuah disebabkan niat pemberian itu tidak diperjelas,” katanya. – Bernama
