AXN Ultimate Challenge: Sarawak saji Pengembaraan ekstrem, teroka budaya

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Program realiti pengembaraan AXN Ultimate Challenge: Sarawak menggabungkan cabaran penuh adrenalin, penerokaan budaya dan penceritaan digital yang menarik.

Siri hasil kerjasama strategik antara AXN Asia dan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) berusaha mengetengahkan Sarawak sebagai destinasi pelancongan pilihan kepada penonton di seluruh dunia.

Ia yang diterbitkan oleh KCGM Studios menampilkan Mark O’Dea sebagai pengacara, manakala pencipta kandungan yang terbabit ialah Khenji Saito dan Adam Manuel serta Estelle Fly dan Saffron Sharpe.

Ia turut menampilkan beberapa personaliti tempatan antaranya Cef Achang Libat, Louis Samai, Luke Kenny Doo serta pakar seni sumpit, Cikgu Nyoging dan Alfa.

Program empat episod berdurasi 15 minit itu menyelusuri pengalaman dua pasukan pencipta kandungan bersaing dalam cabaran fizikal dan mental yang diinspirasikan daripada landskap semula jadi serta warisan budaya Sarawak.

Sepanjang pertandingan, peserta akan menguji kemahiran, daya tahan dan semangat berpasukan sambil menyelami kehidupan komuniti tempatan.

Mereka turut menikmati pengalaman budaya yang unik serta meneroka lokasi tersembunyi yang jarang dipaparkan di skrin televisyen.

Peserta akan menghasilkan kandungan sendiri sekali gus memberikan gambaran lebih autentik mengenai pengembaraan terbabit daripada perspektif peribadi masing-masing.

Setiap episod mengetengahkan cabaran yang mencerminkan keunikan Sarawak termasuk pengalaman mencari ulat sagu yang juga sumber protein penting masyarakat tempatan yang berserta ganjaran dan penalti.

Penyertaan wira tempatan memperkukuh keaslian siri itu dengan membawa kredibiliti dan perspektif yang sahih dan dekat dengan budaya setempat.

Siri berkenaan boleh ditonton menerusi saluran YouTube AXN Asia dan AXN Taiwan sejak 4 Ogos lalu selain turut disiarkan di saluran AXN East Asia, AXN Singapura dan AXN China pada setiap Selasa jam 9.30 malam.

Tayangan ulangan pula disiarkan pada setiap Khamis jam 8.35 malam dan Ahad jam 8.45 malam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif STB, Dr Sharzede Datu Salleh Askor berkata, Sarawak adalah destinasi yang menggabungkan pengembaraan, budaya dan alam semula jadi menerusi pengalaman autentik.

“Siri ini menawarkan kepada penonton cara yang menarik untuk menerokai kepelbagaian tersebut, daripada cabaran yang diinspirasikan oleh keindahan alam semula jadi sehinggalah kepada pengalaman budaya dan kisah tempatan yang menjadikan setiap perjalanan begitu istimewa.

“Kami berharap siri ini dapat memberi inspirasi kepada penonton di seluruh rantau ini untuk mengunjungi dan menikmati sendiri keunikan Sarawak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top