Penuntut kolej maut dilanggar ketika buat pusingan U

am@hmetro.com.my

Marang: Seorang penuntut kolej di sini, maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah lori di Jalan Bukit Kor berhampiran Kampung Rhu Rendang, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian 1.10 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Afiq Izzuddin Azhar, 18, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Saari Mohamed berkata, kemalangan membabitkan lori Isuzu dipandu lelaki berusia 34 tahun, dengan motosikal Honda C100 yang ditunggang mangsa.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kedua-dua kenderaan bergerak dari arah sama sebelum motosikal mangsa yang dari bahu kiri jalan, secara tiba-tiba membuat pusingan U untuk berpatah balik.

Katanya, lori yang datang dari belakang kemudian melanggar motosikal mangsa.

“Mangsa yang berasal dari Kuala Berang, parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan ujian air kencing yang dijalankan terhadapnya didapati negatif,” katanya.

Saari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top