Brussels: Thibaut Courtois tidak akan bersama Belgium dalam kempen Liga Negara-Negara musim ini, namun penjaga gol Real Madrid itu belum membuat keputusan untuk bersara daripada arena antarabangsa.
Penjaga gol berusia 34 tahun itu sebelum ini menyatakan selepas Piala Dunia bahawa dia mungkin berhenti mewakili Belgium atau mengambil tempoh rehat musim ini.
Belgium diundi dalam kumpulan bersama Perancis, Itali dan Turkiye untuk kempen Liga Negara-Negara yang membabitkan enam perlawanan dalam tempoh tiga bulan akan datang.
Courtois berkata, jurulatih baharu Belgium, Mark van Bommel, memahami keputusannya untuk tidak beraksi dalam kempen berkenaan.
“Saya akan kekal bersedia untuk kempen kelayakan Kejohanan Eropah bersama pasukan kebangsaan dan saya faham bahawa saya perlu bersaing untuk mendapatkan tempat seperti penjaga gol lain,” katanya kepada akhbar Belgium, Het Laatste Nieuws.
Courtois yang membantu Real Madrid menewaskan Inter Milan 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara pagi tadi berkata, faktor fizikal menjadi kebimbangan utama selepas bertahun-tahun mengharungi jadual padat.
“Dari segi fizikal, saya tidak tahu sama ada saya mampu mengekalkan jadual yang sama untuk tempoh empat tahun lagi,” katanya.
Kempen kelayakan pertama Euro 2028 dijadual bermula Mac tahun depan, sekali gus membuka peluang buat Courtois untuk kembali menyarung jersi Belgium.
© New Straits Times Press (M) Bhd

