Tanpa 'pemain ke-12', Selangor tetap ke suku akhir Piala FA

syafiq.aznan@bh.com.my

Petaling Jaya: Selangor FC (SFC) mengesahkan slot ke suku akhir Piala FA selepas menyingkirkan Sabah FC 4-3 secara agregat, sebentar tadi.

Selepas terikat 2-2 pada aksi pertama Pusingan 16 di Stadium Likas, anak buah Kim Pan-gon berjaya menewaskan Sabah FC 2-1 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

‘The Red Giants’ akan menentang Star City FC yang menyingkirkan pasukan Liga A1 Semi-Pro, Kedah FA 4-2 secara agregat.

Pada aksi terbabit, SFC bermula garang menerusi percubaan seawal minit ketiga oleh Eduardo Sosa yang tersasar disusuli tandukan Arbenit Xhemajli yang diselamatkan penjaga gol Sabah FC, Juan Flere.

Giliran Sabah FC menguji gawang SFC pada minit ke-12 hasil rembatan kencang Farhan Roslan dan sekalipun terbias pertahanan SFC, penjaga gol, Kalamullah Al- Hafiz Mat Rowi berjaya menangkapnya dengan tenang.

SFC ‘terselamat’ pada minit ke-21 selepas jaringan Park Jun Bin dibatalkan kerana penyerang Sabah FC sudahpun berada dalam keadaan ofsaid sebelum menyambut hantaran Fayadh Zulkifli.

Jaringan pembukaan yang dinantikan muncul pada minit ke-35 tetapi menjadi milik tuan rumah selepas rembatan Sosa yang menerima hantaran Peter Makrillos berjaya menewaskan Flere untuk kedudukan 1-0.

Chrigor Moraes terlepas peluang menggandakan kelebihan SFC dua minit berselang meskipun berada dalam situasi satu lawan satu apabila sungkitannya dapat dibaca dengan tepat oleh Flere sebelum Flere terus menafikan Moraes di penghujung babak pertama.

Sabah FC tidak menunggu lama untuk mengikat kedudukan 1-1 apabila mereka menyumbat gol penyamaan menerusi penyudah kencang Jun Bin yang merampas bola dari kaki Harith Haiqal Adam Afkar empat minit selepas babak kedua bersambung.

Tindakan Farhan mengasari Moraes pada minit ke-52 mengundang padah apabila pengadil, Mohamad Nawal Mohammad Zubir memberikan sepakan penalti buat SFC selepas merujuk kepada monitor Video Bantuan Pengadil (VAR).

Moraes membuatkan SFC cemas apabila sepakan penaltinya dibaca Flere namun rembatan susulan Moraes tetap menerjah gawang sekali gus meletakkan tuan rumah kembali di depan 2-1.

Keputusan 2-1 kekal berpihak kepada SFC sekali gus menyaksikan mereka mara ke pusingan seterusnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top