SELANGOR FC (SFC) mengesahkan tiket ke suku akhir Piala FA 2026-2027 selepas menyingkirkan Sabah FC dengan agregat 4-3 sebentar tadi.
Selepas terikat 2-2 pada aksi pertama pusingan 16 di Stadium Likas, skuad kendalian Kim Pan Gon menewaskan Sabah 2-1 dalam aksi timbal balik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang berlangsung tanpa kehadiran penonton.
SFC bermula garang apabila Eduardo Sosa melakukan percubaan pada minit ketiga, sebelum tandukan Arbenit Xhemajli pada minit ketujuh berjaya diselamatkan penjaga gol Sabah, Juan Flere.
Sabah turut mengancam gawang tuan rumah menerusi rembatan kencang Farhan Roslan pada minit ke-12, namun Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi tangkas menafikan percubaan berkenaan.
SFC kemudian terselamat daripada ketinggalan apabila jaringan Park Jung Bin pada minit ke-21 dibatalkan kerana penyerang Sabah itu berada dalam kedudukan ofsaid ketika menerima hantaran Fayadh Zulkifli.
Tuan rumah akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-35 menerusi Sosa yang melepaskan rembatan dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran Peter Makrillos untuk meletakkan SFC di depan 1-0.
Sabah menyamakan kedudukan empat minit selepas babak kedua bermula apabila Park Jung Bin merampas bola daripada Harith Haiqal Adam Afkar sebelum melepaskan rembatan deras yang menewaskan Kalamullah.
SFC kembali di depan pada minit ke-52 selepas pengadil Mohamad Nawal Mohammad Zubir menghadiahkan penalti susulan kekasaran Farhan terhadap Chrigor Moraes selepas semakan VAR.
Moraes gagal menewaskan Flere menerusi sepakan penalti, namun penyerang dari Brazil itu pantas menyambar bola muntah untuk menghasilkan gol kedua SFC dan mengubah kedudukan kepada 2-1.
Keputusan itu kekal hingga tamat permainan, sekali gus mengesahkan kemaraan SFC ke suku akhir dengan agregat 4-3 untuk bertemu Star City FC yang menyingkirkan Kedah FA 4-2 secara agregat.