zanariah_mutalib@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta Negeri Sembilan, baru-baru ini memberikan beberapa dorongan yang siginifikan untuk pemulihan dan kebangkitan parti itu.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata keputusan itu antara lain menunjukkan bahawa orang Melayu mahu perwakilan politik Melayu Islam yang kuat.
Bagaimanapun katanya, terpulang kepada UMNO bagaimana untuk menterjemahkan hasrat itu.
“Ini bermakna, orang Melayu tidak peduli dengan formula politik kita. Bagi mereka, tidak perlu pelbagai gabungan demi gabungan atau perikatan itu dan pakatan ini.
“Apa yang mereka mahu adalah suara politik Melayu Islam itu dominan dan menguasai. Struktur politik formal itu tidak penting, yang penting adalah tiada pertindihan kepentingan Melayu,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, malam ini.
Selain itu, Mohamad, berkata kesepaduan undi Melayu memberi keyakinan bahawa politik identiti akan terus menguasai persada politik Malaysia dan fenomena itu tidak hanya terpakai di negeri ‘jajaran atau koridor Melayu’ saja.
“Politik identiti sukar dipisahkan dengan sikap pengundi Melayu. Perkara itu juga terpakai kepada bukan Melayu.
“Walau di mana pun, politik identiti adalah kelaziman yang tidak boleh dikesampingkan dan identiti itu membawa kedekatan yang sukar digambarkan serta mengikat dengan caranya tersendiri.
“Walaupun pengundi sangat mementingkan isu seperti sara hidup, pembasmian rasuah dan pengagihan kekayaan yang saksama, mereka akhirnya akan lebih cenderung mengundi berdasarkan identiti kaum,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, isu berkepentingan Melayu sudah dan akan terus menjadi dominasi penting dalam politik Melayu, manakala kepemimpinan berdasarkan prestasi yang baik, dasar yang unggul dan khidmat yang cemerlang adalah ‘perhitungan kedua’ dalam minda pengundi kaum itu.
“Apa saja yang berkaitan Melayu itu akan terus menjadi domain terpenting dan utama. Jika kita tidak mengurus domain ini dengan baik, kita akan dilihat mengabaikan kepentingan Melayu dan Islam.
“Lihat saja bagaimana UMNO cuba mewajar dan menjelaskan kerjasamanya dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan. Tiada hujah yang boleh meyakinkan majoriti pengundi Melayu atau melunakkan pendirian mereka untuk menerima kerjasama UMNO dan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.
“Sebabnya, sudah tertanam dalam pemikiran orang Melayu bahawa DAP itu tidak pernah bersetuju dengan dasar diskriminasi positif untuk pribumi atau sudah ada stigma bahawa DAP itu anti Islam,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, Mohamad yang juga Menteri Luar berkata, UMNO menyokong dasar dan program yang baik sebagai tanggungjawab kolektif dalam kerajaan.
Katanya, banyak yang berjaya dilaksanakan kerajaan dalam mengembangkan ekonomi walaupun ketika negara berhadapan kerumitan ekonomi akibat krisis geopolitik global.
Ia termasuk pelbagai pengagihan bantuan, komitmen memerangi rasuah dan ketirisan serta usaha melaksanakan pembaharuan di pelbagai dimensi dalam pelbagai sektor.
“Bagaimanapun, semua ini tidak dilihat sebagai lebih Melayu. Selagi UMNO dilihat bersama DAP, semuanya akan menjadikan Kerajaan Perpaduan itu tidak mewakili Melayu dan kepentingannya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
