Serah ‘bil kerugian’ akibat jerebu kepada Indonesia

Serah ‘bil kerugian’ akibat jerebu kepada Indonesia

SHAH ALAM – Malaysia perlu meneruskan tuntutan ganti rugi akibat jerebu rentas sempadan yang tidak berkesudahan, namun pendekatannya mesti beralih kepada memastikan pihak terbukti menyebabkan kerosakan membayar berdasarkan bukti dan mekanisme dipersetujui.

Pakar Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, tuntutan tersebut perlu dinaik taraf kepada satu mekanisme serantau yang sah, telus dan boleh dikuatkuasakan.

Serah ‘bil kerugian’ akibat jerebu kepada Indonesia

Pakar Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman

Katanya, pendekatan lebih tepat adalah berdasarkan prinsip polluter pays, state due diligence and regional solidarity dengan syarikat atau individu terbukti menyebabkan kebakaran perlu membayar manakala kerajaan Indonesia bertanggungjawab memastikan penguatkuasaan dan pencegahan mencukupi.

“Pada pandangan saya, Malaysia wajar teruskan tuntutan supaya pihak bertanggungjawab bayar kos dan ganti rugi tetapi tuntutan perlu diubah daripada sekadar ‘Indonesia mesti membayar’ kepada prinsip ‘pihak menyebabkan kerosakan mesti membayar berdasarkan bukti dan mekanisme dipersetujui’.

“Ini perbezaan penting dari segi diplomasi. Menuntut kerajaan Indonesia bayar keseluruhan kerugian negara jiran secara terus mungkin sukar dilaksanakan kerana Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) sendiri tidak menyediakan mekanisme pampasan jelas,” katanya kepada Sinar Harian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa berkata, mekanisme ASEAN sedia ada bagi menangani isu jerebu rentas sempadan perlu ditambah baik bagi memastikan masalah berkenaan dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Kata beliau, perkara itu perlu diberi perhatian serius oleh menteri berkaitan di peringkat ASEAN berikutan jerebu memberi kesan terhadap kehidupan manusia, khususnya kanak-kanak dan bayi.

Tuntutan ganti rugi akibat jerebu bukan isu baharu apabila ia pernah dibangkitkan ketika krisis jerebu pada 1997 termasuk desakan supaya kerajaan menghitung kerugian ekonomi, alam sekitar, kesihatan dan pelancongan ditanggung Malaysia.

Isu sama kembali dibangkitkan pada 2016 apabila kerajaan ketika itu turut didesak menghitung keseluruhan kos akibat jerebu dan menuntut pampasan daripada Indonesia.

Mengulas lanjut, Haliza berkata, tuntutan pampasan perlu disertakan mekanisme pembuktian dan penilaian kerugian dipersetujui terlebih dahulu.

Hal ini kerana katanya, usaha mendapatkan pampasan semakin kukuh dari sudut prinsip apabila kerugian dikira secara saintifik.

“Pengalaman 2015 menunjukkan skala ekonominya dengan anggaran Bank Dunia sering dirujuk meletakkan kerugian dan kerosakan akibat kebakaran Indonesia pada sekitar AS$16.1 bilion termasuk kerugian ekonomi dan kos alam sekitar.

“Di Singapura pula, episod 2015 dilaporkan menyebabkan kerugian ekonomi sekitar AS$517 juta,” ujarnya.

Haliza menegaskan, angka tersebut penting kerana kos jerebu boleh diterjemah kepada nilai ekonomi, bukan sekadar kenyataan politik.

Justeru, beliau berkata, Malaysia boleh membangunkan akaun kos jerebu nasional yang merekodkan jumlah hari sekolah ditutup, pesakit berkaitan masalah pernafasan, gangguan penerbangan, kehilangan produktiviti, kos operasi pembenihan awan dan pemantauan serta kerugian sektor pelancongan.

 

 

Scroll to Top