KUALA LUMPUR – UMNO tidak boleh dilihat sebagai penumpang dalam kerajaan, sebaliknya perlu terus mempertahankan suara dan kepentingan parti dalam setiap keputusan yang menyentuh kehidupan rakyat.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kerjasama dalam kerajaan demi kestabilan negara tidak bermakna parti itu perlu kehilangan suara.
Menurutnya, UMNO telah menjadi antara tiang yang menegakkan kestabilan negara sejak empat tahun lalu dan peranan itu perlu terus diiktiraf dalam proses membuat keputusan.
“Kalau UMNO cukup penting ketika kerajaan perlu dibentuk, UMNO juga mesti cukup penting ketika keputusan yang menyentuh kehidupan rakyat dibuat.
“Kita boleh duduk semeja. Tetapi jangan sampai kerusi dan suara kita semakin kecil,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Khamis. .
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komuniti berkata, UMNO memahami erti berkawan dan bertolak ansur, namun terlalu banyak mengalah boleh menyebabkan parti itu dianggap tidak mempunyai pendirian.
“UMNO bukan penumpang dalam perjalanan politik negara ini.
“Kita pernah memandu negara ini. Kita tahu jalannya, kita tahu destinasinya dan kita masih mempunyai kekuatan untuk menentukan arahnya,” katanya.
Pada masa sama, Noraini berkata, Wanita UMNO menggariskan lima prinsip yang perlu menjadi pegangan parti dalam menghadapi sebarang bentuk kerjasama politik.
“Pertama, jangan gadaikan asas perjuangan, maruah parti, kestabilan negara, suara akar umbi dan jangan tidak meminggirkan masyarakat majmuk negara.
“Kerjasama tidak boleh menghakis identiti. Identiti pula tidak boleh menjadi alasan untuk menolak kerjasama. Kita mesti bijak menjaga kedua-duanya,” katanya lagi.
Mengulas mengenai identiti perjuangan UMNO, beliau berkata, parti itu tidak seharusnya berasa takut untuk bercakap mengenai Melayu, Islam dan perjuangan UMNO hanya kerana bimbang menyinggung perasaan rakan politik.
Katanya, mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan orang Melayu dan Bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan, bahasa Melayu serta institusi Raja-Raja Melayu tidak seharusnya disamakan dengan politik kebencian.
“Kita tidak perlu membenci kaum lain untuk membela orang Melayu. Kita tidak perlu menghina agama lain untuk mempertahankan Islam.
“Kita mahu orang Melayu yang kuat bukan supaya bangsa lain menjadi lemah. Kita mahu orang Melayu yang kuat supaya Malaysia menjadi lebih kuat,” katanya.
Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata, kekuatan UMNO dalam mempertahankan identiti tidak bermakna parti itu menolak perubahan atau kemajuan.
Sebaliknya, katanya, UMNO perlu teguh pada nilai, sederhana dalam pendekatan dan progresif dalam tindakan, termasuk menguasai teknologi, mengangkat anak muda serta membuka ruang lebih luas kepada wanita.
“Kita boleh berubah tanpa kehilangan jati diri. Kita boleh melangkah ke hadapan tanpa mencabut akar perjuangan yang kita bina selama ini.
“Kerana sejarah memberikan kita akar tetapi masa depan menuntut arah,” katanya.