Malaysia menuju negara menua, kos kesihatan negara mencecah RM84.2 bilion

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Situasi Malaysia menuju ke negara masyarakat menua memberi kesan terhadap peningkatan kos kesihatan dan cabaran ekonomi.

Ini kerana negara perlu memberi lebih tumpuan kepada pencegahan penyakit, produktiviti tenaga kerja dan sistem penjagaan yang mampan.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata, data rasmi Malaysia National Health Accounts menunjukkan perbelanjaan kesihatan per kapita meningkat daripada RM1,237 pada 2011 kepada RM2,521 pada 2023.

Beliau berkata, jumlah perbelanjaan kesihatan pula mencecah RM84.2 bilion pada 2023 atau bersamaan 4.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Apabila penduduk kita semakin berusia, kelaziman dan kerumitan penyakit tidak berjangkit (NCD) akan meningkat, bersama permintaan terhadap rehabilitasi, perkhidmatan geriatrik dan penjagaan jangka panjang.

“Berdasarkan data pada 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menganggarkan NCD memberi beban ekonomi sebanyak RM64.2 bilion setahun,” katanya dalam ucaptama pada pembukaan Malaysia Healthcare Summit 2026 bertemakan Menyelaraskan Pertumbuhan Sektor Swasta dengan Keutamaan Kesihatan Negara di sini, hari ini.

Persidangan itu dianjurkan oleh KSI Strategic Institute for Asia Pacific (KSI) yang menghimpunkan kira-kira 120 pembuat dasar, pengawal selia, pemimpin sektor penjagaan kesihatan swasta, syarikat insurans, pelabur, petugas klinikal, ahli akademik dan pakar teknologi.

Katanya, pendekatan negara tidak boleh hanya tertumpu kepada merawat penyakit selepas ia berlaku.

“Sistem kesihatan perlu diseimbangkan secara berperingkat ke arah pencegahan, pengesanan awal, penjagaan primer berkesan serta pengurusan penyakit kronik secara berterusan.

“Pelaburan dalam kehidupan yang lebih sihat bukan sahaja isu kesihatan, malah menjadi keperluan dari sudut fiskal dan produktiviti,” katanya.

Jelasnya, kesihatan perlu dilihat sebagai infrastruktur ekonomi kerana penduduk yang lebih sihat mampu menjadi lebih produktif, berdaya tahan serta mengambil bahagian dalam ekonomi dan masyarakat untuk tempoh lebih panjang.

“Perubahan demografi turut membawa cabaran kepada pasaran buruh apabila jumlah penduduk usia bekerja yang menyokong populasi lebih berusia dijangka semakin kecil,” katanya.

Jelasnya, Malaysia menjadi masyarakat menua pada 2021 apabila penduduk berusia 65 tahun dan ke atas melebihi tujuh peratus, manakala kadar itu mencapai lapan peratus pada 2025.

“Berdasarkan unjuran Jabatan Perangkaan, Malaysia bakal menjadi negara menua menjelang 2048, apabila penduduk berusia 65 tahun dan ke atas melebihi 14 peratus.

“Bagaimanapun, pertambahan usia tidak bermakna seseorang tidak lagi mampu menyumbang kepada ekonomi,” katanya.

Katanya, kesihatan lebih baik, pembelajaran sepanjang hayat, peluang pekerjaan fleksibel serta amalan tempat kerja mesra usia boleh membolehkan rakyat terus aktif sebagai penyumbang ekonomi untuk tempoh lebih panjang.

“Pada masa sama, perubahan demografi turut mewujudkan peluang ekonomi baharu, termasuk menerusi industri pelancongan kesihatan serta perkembangan ekonomi penjagaan dan ‘silver economy’.

“Industri pelancongan kesihatan Malaysia menerima kira-kira 1.8 juta pesakit antarabangsa pada 2025, menjana pendapatan RM3.35 bilion, dengan sasaran RM3.83 bilion pada 2026,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top