Pesawat dinaiki petugas awam harus setanding yang dinaiki menteri

IPOH: Pesawat (pengangkutan udara) yang dinaiki petugas awam seharusnya sama kualiti seperti yang dinaiki menteri-menteri di negara ini.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. R. Thirunavukarasu berkata, dia tidak menolak keperluan kritikal perkhidmatan kesihatan udara kerana untuk keperluan masyarakat.

“Kita setuju dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Mahathar Abd. Wahab yang memaklumkan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) tidak boleh dihentikan kerana keperluan masyarakat.

“Tetapi kerajaan harus pastikan pesawat yang dinaiki itu, kalau menteri-menteri boleh naik yang bagus kenapa sektor kesihatan tak boleh naik pesawat yang bagus? Jadi, apakah ada pilih kasih (double standard)? Jadi kena pastikan keselamatan,” katanya pada sidang akhbar di salah sebuah hotel di sini, hari ini.

Terdahulu, dia turut hadir pada Majlis Perasmian Konvensyen Kebangsaan MMA dan Kongres Saintifik 2026 yang dirasmikan oleh Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr. Feisul Idzwan Mustapha.

Media melaporkan pada Selasa, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan lima individu berada di dalam helikopter BO-105 yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang STOL Long Lellang di Miri, Sarawak.

Nahas tersebut mengorbankan Kapten Zainol Afiq Sham Bee; pegawai perubatan, Dr. Ainul Baraah Kamaruddin bersama pembantu pegawai perubatan, Alexson Adit dan dua jururawat, Debra Moset serta Jessie Paya yang dalam perjalanan ke Long Lellang bagi memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat.

Menurut Thirunavukarasu, aspek-aspek lain yang perlu diberikan perhatian ialah bayaran insentif perkhidmatan kesihatan udara sebanyak RM30 yang tidak berubah sejak diperkenalkan pada 1978.

“Lebih penting, bayaran ini bukan perlindungan insurans dan tidak mampu memberikan pampasan sewajarnya bagi kematian atau hilang kehilangan upaya kekal.

“Petugas kesihatan yang dikerahkan bagi misi kesihatan dalam negara sama ada melalui udara, darat atau laut didapati tidak menerima perlindungan insurans perjalanan dan kemalangan diri khusus yang setara dengan perlindungan bagi pegawai awam yang menjalankan tugas rasmi di luar negara. Kelompangan dasar ini mesti ditangani dengan segera,” katanya.

Jelasnya, kerajaan perlu memastikan hanya pengangkutan yang telah disahkan secara bebas sebagai selamat, layak terbang, layak berada di jalan raya atau layak berlayar serta sesuai dengan tujuan operasi digunakan untuk membawa petugas kesihatan. – UTUSAN

Scroll to Top