Urus krisis media secara strategik kunci pelihara kredibiliti SPRM

mhafis@mediaprima.com.my

Putrajaya: Keupayaan mengurus komunikasi secara strategik dan membuat keputusan tepat ketika berdepan krisis media adalah aspek penting dalam memastikan kredibiliti serta keyakinan awam terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus terpelihara.

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, Hisyam Mohd Yusoff berkata, setiap maklumat berkaitan SPRM yang disampaikan kepada umum perlu dikendalikan secara teliti kerana penyampaian tidak tepat boleh memberi implikasi terhadap persepsi masyarakat terhadap organisasi itu.

“Dalam pengurusan krisis media, setiap maklumat yang disampaikan boleh membawa pelbagai implikasi jika tidak dikendalikan dengan berkesan.

“Justeru, kita perlu memastikan setiap tindakan komunikasi dibuat dengan teliti, berdasarkan fakta, naratif dan mengambil kira kesannya terhadap keyakinan serta persepsi masyarakat terhadap SPRM.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sesi perkongsian pada Cakna Ilmu Siri 11/2026: Strategi Komunikasi dan Pengurusan Krisis Media di Ibu Pejabat SPRM, di sini, semalam.

Dalam sesi itu, Hisyam turut berkongsi pengalaman mengendalikan situasi krisis media serta pendekatan yang boleh digunakan bagi menilai sesuatu isu sebelum menentukan tindakan komunikasi yang bersesuaian.

“Apa yang diharapkan setiap peserta kursus ini dapat memahami kehendak dan peranan BKS khususnya dalam menyalurkan maklumat yang diperlukan mengenai sesuatu perkara atau kes.

“Ini bagi memastikan BKS dapat membuat keputusan dan merangka naratif yang tepat dalam menyalurkan sesuatu maklumat dengan mengambil kira kesan apabila disampaikan kepada masyarakat,” katanya.

Terdahulu, sesi Cakna Ilmu Siri 11/2026 turut menampilkan Timbalan Pengarah BKS, Badrila Jamlus yang berkongsi pengalaman selama 22 tahun dalam bidang kewartawanan dan strategi komunikasi serta tatacara pengendalian isu melibatkan media.

Program anjuran BKP itu disertai 32 pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional gred 9 hingga 14 daripada pelbagai bahagian di Ibu Pejabat serta SPRM Negeri.

Bagi menguji kefahaman peserta, program turut disusuli aktiviti berkumpulan dan sesi simulasi yang menampilkan situasi menyerupai keadaan sebenar ketika berdepan krisis media.

Melalui pendekatan itu, peserta berpeluang menganalisis senario, membincangkan pilihan tindakan serta mengaplikasikan kaedah komunikasi yang dipelajari selain membuka ruang mengemukakan persoalan dan berkongsi situasi berkaitan tugasan masing-masing.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top