Wawasan tembusi kubu kuat Bersatu di Perlis

ANALISIS

KANGAR: Gelombang menyertai Parti Wawasan Negara (Wawasan) dalam kalangan pemimpin dan akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Perlis memberi tamparan hebat kepada parti tersebut yang kini seperti ‘kapal menanti masa karam’.

Wawasan secara agresif mula menembusi kawasan-kawasan yang merupakan kubu kuat Bersatu khususnya Kangar dan Padang Besar.

Di Padang Besar, Timbalan Ketua Bersatu Bahagian, Ramzi Md Udi bersama sebahagian besar Ahli Jawatankuasa (AJK), termasuk 14 daripada 24 ketua cawangan mengumumkan keluar parti menyertai Wawasan.

Manakala di Kangar, selain pemimpin bahagian dan jawatankuasa sayap-sayap parti, 90 daripada 99 ketua cawangan turut mengambil langkah sama berhijrah bersama Wawasan.

Di Arau, sebahagian besar pimpinan jawatankuasa Bersatu bersama 10 ketua cawangan bahagian tersebut mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta merta.

Situasi tersebut memberi gambaran Wawasan di Perlis mula membina kekuatan dengan langkah awal melalui penyertaaan para pemimpin tertinggi bahagian dan akar umbi Bersatu yang kebanyakan sudah hilang kepercayaan kepada parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setakat ini, Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kangar, Ahli Parlimen serta empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu masih di dalam Bersatu.

Pemimpin akar umbi yang keluar parti melihat hala tuju, pengurusan organisasi dan pendekatan kepemimpinan sudah tidak lagi selari dengan harapan serta aspirasi mereka sebagai pemimpin di peringkat bahagian dan cawangan.

Disebalik tindakan keluar parti beramai-ramai itu, Pengerusi Bersatu negeri, Izizam Ibrahim yang baharu dilantik menggantikan Abu Bakar kekal optimis mampu menyelamat dan kembali mengukuhkan parti itu di Perlis.

Beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar akan terus berjuang demi kelangsungan parti meskipun jika selepas ini hanya tinggal beberapa kerat sahaja pemimpin.

Menjadi persoalan selepas ini, sejauh mana Bersatu mampu bertahan khususnya selepas terlerainya hubungan dan kerjasama dengan Pas di dalam Perikatan Nasional (PN).

Wawasan diketuai Datuk Seri Hamzah Zainuddin pula mempunyai kelebihan apabila menjadi salah satu rakan komponen di dalam PN yang mendapat dukungan kuat daripada Pas.

Bagi Penyelaras Wawasan negeri, Azahar Hassan, parti itu sentiasa terbuka menerima mana-mana pemimpin Bersatu yang menyatakan hasrat menyertai Wawasan di Perlis.

Kata Azahar, Wawasan adalah wadah politik terbuka kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.-UTUSAN

Scroll to Top